top of page

MoU ASEAN CARE Humanity Matters - PIL lancarkan lagi penghantaran bantuan ke Gaza

Berita Mediacorp | 2 Mar 2025



SINGAPURA: Usaha bantuan kemanusiaan oleh Humanity Matters (HM) dan penghantaran barangan menerusi kapal ke Timur Tengah dan negara-negara ASEAN akan dipermudahkan lagi dengan satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang baru dimeterai badan tersebut.


HM menandatangani sebuah MoU dengan syarikat perkapalan kontena setempat, Pacific International Lines (PIL) di majlis berbuka puasa dan bungkusan pek bantuan untuk Gaza pada Ahad (2 Mac).


Sejak Mac 2024, PIL sudah menyokong HM dengan lima penghantaran kontena yang berisi barangan bantuan dari Singapura ke Gaza, menerusi Aqaba, Jordan.


Barangan tersebut termasuk bekalan perubatan, sistem rawatan air, makanan dan pek-pek untuk kanak-kanak.


Di bawah MoU yang bernilai sehingga S$1 juta, PIL akan terus menyokong usaha-usaha HM dengan menyediakan sokongan logistik, kontena dan khidmat perkapalan ke negara-negara Asia dalam rangkaian PIL.


"PIL kekal komited dengan usaha mempertingkat masyarakat di tempat-tempat kami lakukan perdagangan. Saya gembira, kami memperluaskan kerjasama dengan Humanity Matters dengan MoU ini jadi kita boleh saling meraih manfaat daripada kepakaran masing-masing dan sumberi-sumber untuk membangunkan inisiatif yang menumpukan kepada impak masyarakat dan memperbaiki kehidupan mereka yang amat memerlukan," kata CEO PIL, Lars Kastrup.


PIL juga akan bekerjasama dengan HM untuk program-program bagi mempertingkat dan melindungi golongan rentan di ASEAN. Antaranya termasuk program pendidikan bahasa Inggeris, penghasilan air bersih dan perlindungan kawasan tepi pantai.


Kerjasama ini menyokong inisiatif kemanusiaan bagi pengurusan bencana serantau, ASEAN CARE.


"ASEAN CARE ini yang mustahak, kita besarkan bukan satu-satu tempat, Singapura. Kita masukkan kumpulan ASEAN, jadi kita boleh kerjasama untuk kebaikan Singapura untuk kebaikan mereka juga. Jadi untuk Humanity Matters ini baiklah untuk dia punya usaha pada masa depan. Kemudian, kita boleh ada projek lebih besar untuk kebaikan bersama. Yang mustahak sekali mereka ada keyakinan dengan kita dan kita ada amanah kita dan kita jalankan tugas kita dengan betul," kata Timbalan Pengerusi Humanity Matters, Noor Mohd Marican.



MoU itu ditandatangani oleh Ketua Kemampanan, Penyahkarbonan dan Bahan Api Marin PIL, Chia Yujin dan Pengarah Humanity Matters, Lee Chin Chin di acara yang berlangsung di Sree Narayana Mission.


5,000 PEK BANTUAN UNTUK KANAK-KANAK GAZA AKAN DIHANTAR BULAN MAC INI


Antara barangan yang akan dapat dihantar menerusi kerjasama itu ialah bungkusan pek bantuan 'Kidz Comfort Pack' yang disiapkan pada Ahad (2 Mac).


Sepanjang empat jam, lebih 300 relawan menyingsing lengan untuk membungkus sekitar 5,000 pek bantuan 'Kidz Comfort Pack' (KCP) buat kanak-kanak yang terjejas oleh pergolakan di Gaza.


Setiap pek mengandungi antaranya barangan seperti snek, permainan, botol minuman dan alat tulis.


Menurut HM, ianya juga akan dihantar dan diedarkan pada bulan Mac ini.


Usaha tersebut yang dijalankan di Sree Narayana Mission di Yishun itu juga merupakan kali kedua HM menjalankan usaha membungkus KCP.


Sejauh ini, HM sudahpun menghantar lebih 70 tan bantuan barang keperluan ke Gaza sebanyak lima kali sejak Oktober 2023.


Para relawan yang tampil menyingsing lengan kepada usaha ini juga datang dari pelbagai latar belakang, usia dan kaum yang berbeza.



Namun, niat mereka jelas iaitu untuk menyuntik secebis keceriaan bagi kanak-kanak di Gaza.


"Saya senang hati dapat bersuka rela membantu orang. Ini kali kedua saya membantu bersama HM. Inisiatif ini boleh meringankan beban mereka yang terjejas di Gaza jadi saya harap ia membawa keriangan untuk mereka," kata relawan, Khayriya Norhisham, 19 tahun.


Acara membungkus barangan bantuan itu juga sampai ke kemuncaknya tadi dengan sebuah sesi berbuka puasa bersama Perdana Menteri Lawrence Wong.









Comments


UEN 201920766R
© Humanity Matters 2023. All rights reserved.

  • Instagram
  • Facebook
  • Youtube
bottom of page