Berita Mediacorp | 2 Mar 2025
SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong berkata Singapura akan menyokong sepenuhnya usaha antarabangsa untuk mewujudkan sebuah negara bagi para penduduk Palestin sebagai huraian dua negara yang dirundingkan.
Meskipun Gaza jauh, beliau berkata Singapura tidak boleh membiarkan krisis di sana berlarutan tanpa rasa peduli.
"Selain daripada menyediakan bantuan kemanusiaan, Singapura juga akan menyokong sepenuhnya usaha-usaha antarabangsa bagi mewujudkan sebuah tanah air dan negeri untuk rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada huraian dua negara yang dirundingkan. Kita akan terus menyokong usaha-usaha untuk membina keupayaan Penguasa Palestin dan menghulurkan sokongan kepada rakyat Palestin apabila mereka mentadbirkan negara mereka sendiri kelak," kata PM Wong.
Beliau memberi jaminan itu dalam ucapannya di acara Buka Puasa dan bungkusan barangan bantuan bagi Gaza oleh Humanity Matters di Sree Narayana Mission pada Ahad (2 Mac).
Seramai 300 relawan hadir di rumah rawatan dan jagaan warga emas di Yishun itu untuk membungkus 5,000 pek bantuan untuk kanak-kanak di Gaza.
PM Wong turut melahirkan penghargaannya kepada rakyat Singapura yang menyumbang wang, masa mahupun tenaga.
Setakat ini, Singapura sudah menyumbang lebih S$19 juta bagi membantu mangsa-mangsa perang di Gaza.
Katanya, ini mencerminkan betapa besarnya hati rakyat Singapura yang melahirkan sifat belas ihsan dan kemurahan hati melalui usaha-usaha sedemikian.
Dengan perpaduan sebegini juga menurut PM Wong, negara akan boleh mengharungi keadaan dunia yang kian bergolak.
"Apa yang menyedihkan ialah konflik berterusan di Gaza mencerminkan keadaan dunia kita hari ini. Percaturan dunia berubah di depan mata kita dan hari demi hari, kita melihat tanda-tanda
bahaya dan pergolakan yang semakin meruncing di sekeliling kita. Kita sedang melangkah ke dalam situasi yang baharu dan kita hanya akan berjaya mengharunginya jika kita kuat serta bersatu padu sebagai satu rakyat," kata PM Wong.
"Jadi petang ini, sedang kita menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan di luar negara, kita juga harus menghargai dan mempertahankan apa yang kita nikmati di sini iaitu satu masyarakat yang hidup bersama dengan aman damai tanpa mengira kaum dan agama," tambah beliau.

PM Wong turut menyertai sekitar 300 relawan dan 500 anggota masyarakat dalam majlis buka puasa di Sree Narayana Mission itu.
"Di Sree Narayana Mission ini, rumah rawatan yang komited untuk membantu golongan yang memerlukan, rakyat Singapura dari pelbagai latar belakang bersatu hati, bukan hanya untuk berbuka puasa sebagai satu rakyat Singapura, tetapi juga untuk melahirkan rasa belas ihsan dan azam yang kuat bagi menolong mangsa-mangsa yang menderita di Gaza," ujar PM Wong.
Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, K Shanmugam, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Faishal Ibrahim, Timbalan Mufti, Dr Mohammad Hannan dan Timbalan Pengerusi Humanity Matters, Noor Mohd Marican.
Comments