top of page

Relawan berbilang agama siapkan bekalan bantuan bagi mangsa Gaza

Berita Harian | 29 October 2023



Walau insan yang meratap sayu jauh dari pandangan, Cik Nurul Hamzah tergerak hati apabila mendengar berita konflik yang berterusan di Israel-Hamas yang menjejas ribuan orang awam.

Awal pagi Ahad, beliau bersama anaknya yang berusia enam tahun dan tunangnya menyertai satu kumpulan sekitar 100 relawan berbilang bangsa di sebuah bangunan perindustrian di Lorong 17 Geylang untuk membungkus sebanyak lapan tan barangan keperluan bagi mangsa yang terjejas dek ketegangan yang sudah mencecah lebih 20 hari itu.


“Walaupun kami tidak dapat pergi ke sana untuk melihat sendiri barang-barang ini diagihkan kepada mereka, dari jauh kami sumbangkan masa dan hati kami demi satu usaha kemanusiaan,” kata ibu dua anak berusia 36 tahun itu.


Cik Nurul merupakan antara relawan yang terdiri daripada 10 kumpulan agama utama di Singapura yang hadir pada acara bantuan kemanusiaan itu, anjuran pertubuhan tidak mengaut untung, Humanity Matters.


Bakalan bantuan bernilai $215,000 itu termasuk 10,000 pek cecair intervena (IV) dan set infusi penjernihan air; 5,000 bekas air mudah alih bagi keluarga membekalkan air serta ubat-ubatan dan vitamin.


Dalam kenyataannya pada Ahad, Humanity Matters berkata bekalan keperluan itu bakal dihantar menerusi udara pada 31 Oktober ke Kahirah, Mesir, dan kemudian dihantar menerusi darat ke Rafah, wilayah selatan Gaza.


Ia diikuti satu rombongan empat orang yang akan meninjau pengagihan barangan ini di Rafah, bersama rakan di wilayah terjejas; pertubuhan Sabit Merah Mesir dan Palestin, umum duta dan pengerusi Humanity Matters, Encik Ong Keng Yong.


“Walaupun sumbangan ini kecil sahaja, ia melambangkan semangat besar, dirasakan dalam hati warga Singapura bagi mereka yang terjejas di sana,” katanya.


Penasihat Khas Humanity Matters, dan mantan Ketua Eksekutif Mercy Relief, Encik Hassan Ahmad, yang merupakan antara peserta rombongan itu berkata usaha ini melibatkan kumpulan pertama bekalan bantuan yang akan dihantar ke sana.


Beliau berkata apabila pasukan itu sampai ke Rafah, mereka akan meninjau keadaan bagi menghulurkan bantuan lanjut yang diperlukan mangsa.


“Ini semua bergantung pada keadaan. Kami telah berusaha sedaya upaya untuk mengumpul sebanyak mungkin bekalan bantuan dalam masa tercepat namun tak pasti berapa lama atau berapa banyak daripada bekalan ini dapat membantu mangsa,” katanya.


“Kami diberitahu ribuan orang telah kehilangan tempat tinggal, jadi kami akan meninjau keadaan ini di sana,” tambah Encik Hassan.


Acara itu turut melibatkan rakan masyarakat dan korporat, serta pertubuhan keagamaan seperti, pusat pendidikan SimplyIslam.sg, Persatuan Buddha Mahakruna, Rangkaian Relawan Hindu, pertubuhan pekhidmatan Khidmat Masyarakat dan Kanak-Kanak Canossaville; Lembaga Penasihat Punjabi, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), antara lain.


Ia juga dihadiri para pemimpin masyarakat Melayu/Islam; wakil bukan pemastautin Singapura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Fahmi Aliman dan Anggota Parlimen (GRC Ang Mo Kio) Cik Nadia Samdin, antara lain.


SEMANGAT PADU: Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam (tengah, kemeja biru) dan Duta dan Pengerusi Humanity Matters, Encik Ong Yeng Kong (barisan depan, paling kiri) kelihatan bergambar dengan relawan yang hadir bagi acara pembungkusan bahan keperluan mangsa di Gaza pada pagi Ahad. - Foto ZB


Tetamu kehormat acara itu, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, yang telah bertemu dengan relawan berkata beliau terharu melihat semangat yang boleh dicontohi masyarakat dalam usaha ini tidak kira agama dan bangsa.


“Inilah semangat Singapura... semua telah datang ke sini untuk membantu, walaupun kebanyakan bantuan itu akan diperuntukkan kepada warga Muslim di Gaza,” katanya.



Comments


bottom of page