top of page

Program warisan berbilang kepercayaan diperluas meliputi lebih banyak golongan

Suria Mediacorp | 4 February 2022

 

Sebuah program warisan berbilang kepercayaan diperluas untuk meliputi lebih banyak golongan rakyat Singapura termasuk para pemimpin akar umbi dan juga belia.



SINGAPURA: Sebuah program warisan berbilang kepercayaan diperluas untuk meliputi lebih banyak golongan rakyat Singapura termasuk para pemimpin akar umbi dan juga belia.


Ini sedang Singapura melihat jumlah ketara kes diskriminasi semasa musim pandemik.


Dipanggil Faithful Footprints, program anjuran pertubuhan silang agama tempatan Humanity Matters yang dimulakan pada 2019 itu, bermula sebagai program yang disasarkan kepada hanya rakyat dan penduduk bukan asal Singapura serta para pelajar dari sekolah-sekolah khusus.


Menurut pihak penganjur, keadaan semasa pandemik yang menyebabkan lebih ramai orang bekerja dari rumah serta meningkatnya penggunaan internet juga aplikasi digital dan media sosial, membolehkan sikap diskriminasi lebih mudah tersebar dalam kalangan semua segmen masyarakat.


Oleh itu, program tersebut diluaskan untuk meliputi lebih banyak golongan rakyat Singapura.


Siri Faithful Footprints yang diperluas itu akan dimulakan pada 22 Mac ini.



LEBIH BANYAK SEGMEN DIPERKENALKAN TERMASUK SESI PERBINCANGAN


Program yang dipertingkat itu juga mengetengahkan lebih banyak segmen dalam progam enam jamnya.


Ini termasuk sesi perbincangan tentang isu-isu genting yang menjejas perpaduan sosial masyarakat dan juga sebuah video 25 minit tentang sejarah serta kisah masyarakat hijrahan serta kepercayaan mereka.


Menurut Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong yang melancarkan program tersebut, sungguhpun Singapura dilihat sebagai model untuk diikuti negara-negara lain, kita tidak boleh mudah berpuas hati.


"Kerana apabila kita mengatakan kita sudah sampai ke destinasi, saya fikir itulah detiknya kita berhenti untuk menyesuaikan diri dan tidak bergerak ke depan. Jadi saya rasa ia satu perjalanan, sesuatu yang masih sedang diperbaiki.


"Mempelajari tentang satu sama lain, dan melakukan dan menyusun semula kompaknya setiap kali, dengan setiap generasi. Kerana setiap generasi akan berdepan dengan cabaran-cabaran yang berbeza," tambah Encik Tong lagi.


Maka itu program sebegini memberikan wadah untuk masyarakat Singapura berinteraksi dan mengenali dengan lebih mendalam apakah maknanya hidup dalam masyarakat berbilang budaya di Singapura.


SEMUA PIHAK ADA PERANAN UNTUK WUJUDKAN RUANG BERSAMA


Di sini, beliau menekankan pentingnya semua pihak memainkan peranan dalam mewujudkan ruang-ruang bersama agar orang ramai dari pelbagai latar belakang dapat berinteraksi secara harmoni.


"Ia bukan sesuatu yang dapat dicapai menerusi masyarakat sendiri, sebilangan kumpulan sendiri, pemerintah sendiri. Pemerintah harus memainkan peranannnya.


"Institusi-institusi penting seperti sekolah-sekolah nasional dan perkhidmatan negara kita membantu menggalak perpaduan sosial. Ini memberikan wadah semula jadi bagi rakyat Singapura serta rakyat bukan asal Singapura dan penduduk tetap berhimpun bersama," kata Encik Tong.



Comentários


bottom of page