top of page

Perpaduan, penerimaan penting dalam usaha Asean tangani cabaran

Berita Harian | 22 Dec 2022



SEDANG negara Asean terus menghadapi ancaman varian Covid-19 akan datang, mereka juga harus bekerjasama untuk menangani cabaran genting yang lain termasuk inflasi yang meningkat, perubahan iklim dan keterjaminan makanan.


Untuk menangani isu itu, perpaduan dan penerimaan kepelbagaian itu penting, kata pengerusi badan bukan pemerintah Humanity Matters dan Duta Kelana, Encik Ong Keng Yong, yang juga mantan Setiausaha Agung Asean.


Malah, keharmonian yang wujud dalam negara yang berbilang kaum dan budaya seperti Singapura atau rantau Asean tidak wujud secara kebetulan tetapi hasil kerja keras dan usaha berterusan selama ini, menurut Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah.


Encik Ong dan Cik Indranee berkata demikian semasa berucap di acara pembukaan program Faithfully Asean (FA22) di Hotel Furama RiverFront kelmarin.


Program yang berlangsung buat kali keempat dan berlangsung dari kelmarin hingga hari ini diikuti 40 peserta daripada sektor silang agama, sosial dan belia dari Asean, serta 230 tetamu setempat, termasuk pegawai diplomatik dari Asean dan Asia serta pemimpin korporat, agama, masyarakat dan belia.


Edisi Faithfully Asean tahun ini diadakan sempena Hari Perpaduan Manusia Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang bertujuan meraikan perpaduan dunia dalam kepelbagaian.


Encik Ong berkata perpaduan boleh ditakrifkan sebagai perjanjian bersama yang merangkumi kepentingan dan matlamat yang dikongsi bersama, yang mewujudkan rasa perpaduan dari segi psikologi, sosial dan kerohanian dalam kalangan kumpulan orang yang berbeza.


Malah, perpaduan adalah satu kesedaran tentang kepentingan dan matlamat bersama yang menyatukan orang ramai.


"Dalam Asean, terdapat kerjasama antara 10 negara anggota.


"Dan kami telah menyeru rakyat di kesemua 10 negara untuk menganggap diri mereka sebagai sebuah masyarakat, berusaha menjaga satu sama lain dan untuk berkembang bersama," ujarnya.


Tambahnya, keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini adalah hasil usaha semua pihak bersama.


"Memandang ke hadapan, kami mengalu-alukan kerjasama berterusan, perkongsian usaha yang baik, muhibah yang terus dipupuk dan usaha meningkatkan keyakinan serta rasa saling percaya.

"Ini supaya kita dapat terus memiliki masyarakat yang makmur dan selamat di Asia Tenggara," ujar Encik Ong.


コメント


bottom of page