Lebih 300 individu berbilang bangsa bantu RLAF dan Humanity Matters kumpul dana untuk Gaza
Berita Mediacorp | 17 Nov 2024
SINGAPURA: Usaha Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan Humanity Matters untuk mengutip dana bagi membantu mangsa konflik Gaza telah berjaya mengumpulkan hampir S$30,500 setakat 7.00 malam tadi (Ahad, 17 Nov).
Lebih 300 individu daripada pelbagai bangsa dan negara, termasuk para pekerja migran, menyertai usaha mengumpul dana tersebut.
Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad melancarkan pengumpulan dana itu di tempat meletak kereta Ascott Orchard di Bideford Road.
Encik Zaqy berkata bahawa bertindak proaktif adalah cara terbaik untuk mengatasi rasa putus asa, yang turut beliau rasai akibat situasi di Gaza.
Beliau turut memuji usaha kedua-dua badan itu dalam menyatukan masyarakat untuk tujuan kemanusiaan itu.
"Singapura adalah sebuah negara kecil, jauh (dari Gaza), tetapi yang lebih penting adalah apa yang kita lakukan untuk mereka. Kita telah melihat pelbagai organisasi, sama ada RLAF, Humanity Matters, Persatuan Palang Merah, Mercy Relief, dan juga pemerintah Singapura,
yang menghulurkan bantuan yang kita mampu."
"Ini semua adalah usaha rakyat Singapura daripada pelbagai lapisan kehidupan. Pada hari ini, anda dapat melihat bahawa bukan sahaja rakyat Singapura, malah pekerja hijrahan juga bersatu untuk tujuan yang baik, melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk kemanusiaan," kata Encik Zaqy.
Selain acara hari ini, kedua-dua badan itu juga akan menyelaraskan proses pengumpulan, pembungkusan, dan penghantaran bantuan kemanusiaan yang diperlukan ke Jordan pada bulan depan.
Bekalan bantuan tersebut kemudiannya akan dihantar ke Gaza pada Januari tahun depan.
Usahasama antara dua NGO itu juga menyusuli pembukaan beberapa laluan akses tambahan di Lintasan Kissufim.
![Pertubuhan agama setempat sumbang $254,000 sokong usaha pemulihan Nepal [Berita Harian]](https://static.wixstatic.com/media/ea7aa6_a9f2daa43caa4311b499c113d376ae22~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_551,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/ea7aa6_a9f2daa43caa4311b499c113d376ae22~mv2.jpg)
![12宗教团体捐逾25万元 支持仁心组织援助尼泊尔灾后重建 [Lianhe ZaoBao]](https://static.wixstatic.com/media/ea7aa6_176a7cb3f3a544d0afb6c479932aa4b0~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_551,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/ea7aa6_176a7cb3f3a544d0afb6c479932aa4b0~mv2.jpg)
![Pertubuhan agama SG sumbang S$183,000 kepada Humanity Matters bagi usaha kemanusiaan di Nepal [Berita Mediacorp]](https://static.wixstatic.com/media/ea7aa6_7c98b6e2919a4ed7a418090e1e59e33b~mv2.jpeg/v1/fill/w_980,h_551,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/ea7aa6_7c98b6e2919a4ed7a418090e1e59e33b~mv2.jpeg)
Comments