Berita Mediacorp | 15 August 2019
MANILA: Satu projek perkhidmatan pembangunan mampan untuk menyediakan air bersih bagi penduduk kurang bernasib baik di Manila, dilancarkan di bawah program latihan bantuan kemanusiaan silang agama, Faiths @ Work.
Inisiatif oleh kumpulan bantuan kemanusiaan Singapura "Humanity Matters " itu disokong oleh Yayasan Temasek.
Di Baseco, Manila, ramai penduduk di situ terdiri daripada pekerja buruh yang kurang berkemampuan.
Perancangan bandar yang mundur menyebabkan paip-paip air terdedah atau terendam dalam air bertakung, menimbulkan risiko pencemaran.
Malah, ada penduduk yang mengadu jatuh sakit selepas meminum air paip yang tercemar.
Keadaan itu diharap dapat diatasi dengan pelancaran sistem rawatan air di Baseco.
Ia bertujuan menyediakan air minum yang bersih dan dalam kemampuan penduduk.
Sistem tersebut dilancarkan pada akhir program latihan 10 hari untuk para peserta badan bukan meraih keuntungan (NGO) dari Singapura itu.
20 orang peserta silang agama dari Asia Tenggara juga menjalani latihan pengurusan bencana.
"Kami harap bahawa menerusi projek ini mereka akan lebih memahami satu sama lain - dari pelbagai kepercayaan, agama dan negara berbeza. Mereka kemudian boleh menjadi sumber rujukan di negara mereka sendiri, apabila berlakunya bencana," kata ketua eksekutif Temasek Foundation Connects, Lim Hock Chuan.
Isu perubahan iklim juga disentuh oleh satu panel pakar-pakar keagamaan.
Baseco dianggap tempat yang sesuai untuk projek tersebut kerana ia antara kawasan di Manila yang berisiko ditimpa gempa bumi dan tsunami.
Kommentarer