top of page

Humanity Matters jalankan misi bantuan di Pakistan ekoran banjir teruk

Berita Mediacorp | 5 September 2022



PAKISTAN: Dalam tempoh 48 jam selepas menerima permintaan langsung daripada Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Singapura, pasukan dari Humanity Matters, iaitu sebuah pertubuhan kemanusiaan serantau bukan pemerintah, mendarat di Karachi pada Jumaat lalu (2 Sep).


Pasukan bantuan bencana itu kini berada di wilayah Sindh untuk menyokong usaha bantuan berterusan berikutan banjir yang meluas dan dahsyat yang melanda empat daripada lima wilayah di Pakistan.


Pada 1 September, Agensi Angkasa Eropah mengesahkan melalui gambar satelit bahawa lebih sepertiga daripada Pakistan sudah ditenggelami air.


Akibat skala kemusnahan itu, ratusan ribu penduduk masih lagi berteduh di khemah-khemah ataupun tempat perlindungan.


Banyak sumber air tercemar teruk ekoran banjir dan ladang-ladang yang luas ditenggelami air apabila Sungai Indus yang melimpah sepanjang tempoh hujan yang berterusan sejak Jun, diburukkan lagi dengan air batu glasier yang mencair.


Pasukan Humanity Matters dilengkapi dengan sistem rawatan air mudah alih dan 'jerry can' atau botol-botol air yang boleh dilipat.




Humanity Matters bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) dan tentera tempatan.


Kerjasama itu bertujuan untuk menyediakan air minuman yang selamat kepada masyarakat yang terjejas, kehilangan tempat tinggal dan terkandas di sepanjang Sungai Indus.


Pasukan Humanity Matters itu diketuai oleh penasihat khas, Hassan Ahmad yang sebelum ini pernah menerajui dan menyelaraskan misi bantuan Singapura ke Pakistan bagi banjir Sindh (2010) dan gempa bumi Muzaffarabad (2005).


"Serupa dengan banjir besar pada tahun 2010, penyakit bawaan air yang mengerikan termasuk taun dan disenteri mudah muncul di seluruh kawasan dan masyarakat yang terjejas disebabkan kekurangan air minuman bersih dan selamat yang menjejas teruk penghidratan, kebersihan dan kesihatan," kata Encik Hassan.



bottom of page