Humanity Matters selaras usaha ASEAN CARE hulur bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa Myanmar
- Humanity Matters
- Mar 31
- 2 min read
Berita Mediacorp | 31 March 2025

SAGAING: Inisiatif kemanusiaan 'ASEAN CARE' yang melibatkan rakan-rakan kongsi dari Myanmar sedang giat menghulurkan bantuan kepada para mangsa gempa bumi di Sagaing, Myanmar.
Antara badan-badan yang terlibat dalam usaha tersebut ialah Humanity Matters, UAB Foundation, Myanmar Golden Rock dan KBZ Bank.
Seramai 11 anggota ASEAN CARE, di bawah penyelarasan Humanity Matters dari Singapura, tiba di Naypyitaw pada Sabtu (29 Mac).
Pasukan tersebut menyokong usaha pemulihan krisis kemanusiaan selepas gempa dahsyat melanda negara tersebut, khususnya di Naypyitaw dan Mandalay.
Matlamat utama inisiatif itu adalah untuk menghulurkan bantuan segera dari segi pembekalan air bersih, sanitasi dan tempat perlindungan sementara
Setakat Isnin (31 Mac), ASEAN CARE telah menyediakan air bersih kepada lebih 100 isi rumah yang terjejas di Naypyitaw. Untuk memperluaskan lagi usaha bantuan itu, pasukan tersebut turut bertemu dengan Datuk Bandar Naypyitaw, Than Tun Oo.
Berdasarkan nasihat dan permintaan pemerintah Myanmar, pasukan bantuan itu kini sedang membangunkan sebuah pusat perlindungan sementara bagi menampung 600 keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
Menurut Penasihat Khas Humanity Matters, Hassan Ahmad, kerosakan berlaku pada skala yang amat besar: "Ramai yang kehilangan ahli keluarga, sedang ramai yang lain kehilangan tempat tinggal. Mereka bukan sahaja trauma akibat gempa bumi kuat tetapi juga disebabkan oleh gegaran susulan berterusan dengan magnitud antara 5.0 hingga 6.4 pada skala Richter."
"Mereka yang kehilangan tempat tinggal atau musnah rumah mereka, serta yang takut untuk pulang ke kediaman mereka, terpaksa berlindung di kawasan terbuka di tengah-tengah gelombang haba dengan suhu mencecah lebih 37 darjah Celsius. Adalah amat penting untuk melindungi mereka daripada keadaan cuaca yang mencabar serta bahaya dehidrasi bagi mengelakkan penyakit," tambah beliau.
Meskipun keadaan sukar dan mencabar, keupayaan rakan-rakan ASEAN CARE di Myanmar berganding bahu untuk menghulurkan bantuan dalam tempoh 18 jam pertama selepas gempa bumi melanda adalah sesuatu yang memberangsangkan, kata Encik Hassan.
Pada masa yang sama, pemerintah Myanmar akan turut membantu mangsa, antaranya dengan menyediakan kawasan terbuka untuk mereka menawarkan dan menyenggara kemudahan tempat tinggal sementara. https://berita.mediacorp.sg/singapura/humanity-matters-selaras-usaha-asean-care-hulur-bantuan-kemanusiaan-kepada-mangsa-gempa-myanmar-926476
Σχόλια