Berita Mediacorp | 9 Mar 2024
SINGAPURA: Usaha berterusan untuk meraih dana dan menghantar bantuan ke Gaza menunjukkan "identiti kita sebagai satu masyarakat", yang berkumpul tidak kira kumpulan agama untuk cuba membantu.
Demikian menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam pada Sabtu (9 Mac).
Beliau bercakap di Soka Kindergarten yang terletak di Tampines, di mana sukarelawan berkumpul untuk membungkus bekalan bagi kanak-kanak di Gaza.
Kumpulan bukan raih keuntungan antara agama Faiths Matters menganjurkan acara tersebut, menjelang kemungkinan berlakunya gencatan senjata di Gaza. Kumpulan itu menyasar untuk membungkus 5,000 bungkusan khas.
Barangan tersebut dianggarkan bernilai S$100,000.
"Ia bukan jumlah yang besar, namun ia menunjukkan bahawa kita mempertahankan sesuatu dan kita akan lakukan apa yang boleh dilaksanakan," kata Encik Shanmugam.
"Kita boleh melakukan lebih dan kita akan lakukannya."
Warga Singapura dan pemerintah sudah mengumpulkan kira-kira S$10 juta bagi operasi bantuan ke Gaza, tambah menteri itu.
Pada Rabu (13 Mac) malam, Humanity Matters akan menghantar bungkusan tersebut ke Jordan, di mana ia kemudian akan dihantar ke Gaza.
Pasukan bantuan empat orang Humanity Matters juga akan mendapatkan bekalan perubatan, makanan dan minuman di Jordan yang akan dihantar ke Gaza.
Ketika gencatan senjata pertama pada November tahun lalu, Humanity Matters menghantar sebuah pasukan ke Mesir untuk memastikan penghantaran bekalan bantuan 9.4 tan dari Singapura ke Gaza.
Sejak itu, keadaan di Gaza semakin buruk, tambah Encik Shanmugam.
Beliau mengulangi kedudukan Singapura dalam isu tersebut, iaitu tindakan Israel adalah keterlaluan.
"Mantan Presiden Halimah Yaacob menyuarakan pendapatnya di media sosial, dan saya sudah berkongsinya dan beliau bercakap bagi kebanyakan daripada kita," kata Encik Shanmugam.
"Apa yang sedang berlaku adalah satu malapetaka. Gencatan senjata harus dilaksanakan segera bagi bantuan kemanusiaan dihantar kepada penduduk Gaza."
Ketika ditanya tentang cara untuk memastikan bekalan bantuan tersebut dihantar kepada mereka yang memerlukan, Encik Shanmugam berkata bahawa Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sudah membantu membawa sejumlah bekalan dan menyerahkannya kepada pihak yang dipercayai.
Kali ini, Humanity Matters sedang bekerjasama dengan Jordan.
Humanity Matters akan menjalankan kutipan dana bagi penduduk Gaza dari 9 Mac hingga 30 April.
Comments