top of page

Banjir Nepal-Tibet: Humanity Matters berada di Nepal, sediakan sistem rawatan air, peralatan perlindungan diri di kawasan terjejas teruk [Berita]

  • 6 days ago
  • 1 min read

Berita Mediacorp | 1 Sept 2025



NUWAKOT: Pasukan empat anggota pertubuhan kemanusiaan Humanity Matters kini berada di Nuwakot, daerah yang terjejas teruk akibat banjir kilat dahsyat yang melanda Nepal minggu lalu, bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan.


Selain memastikan bekalan air bersih yang mencukupi bagi para mangsa banjir dan tanah runtuh, Humanity Matters juga memastikan keselamatan kesihatan pasukan penyelamat dijaga.


"Atas permintaan Kementerian Dalam Negeri Nepal, Humanity Matters sudah memasang unit sistem rawatan air di daerah Nuwokot untuk menyediakan bekalan air yang selamat bagi para mangsa dan petugas barisan hadapan. Meskipun terdapat banyak sumber air, kebanyakannya sudah dicemari oleh lumpur dan mendapan," kongsi Penasihat Khas Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad kepada BERITA Mediacorp menerusi aplikasi WhatsApp.


Perbincangan bersama Menteri Dalam Negeri Nepal. (Gambar: Humanity Matters)


Menurutnya lagi, Humanity Matters telah membekalkan peralatan perlindungan diri (PPE) dan pelitup N95 kepada para petugas barisan hadapan yang ditempatkan di bilik mayat dan pusat pemindahan perubatan.


"Humanity Matters turut menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) dan alat pernafasan bagi para petugas barisan hadapan yang ditugaskan untuk membersihkan kawasan-kawasan yang teruk terjejas dan mengeluarkan mayat-mayat dari serpihan-serpihan bangunan yang sudah runtuh," ujar Encik Hassan lagi.


Selain itu, Humanity Matters turut menyediakan beg-beg mayat bagi memastikan mayat-mayat yang ditemui, diuruskan dengan selamat dan bermaruah.


Pihak berkuasa memaklumkan jumlah mangsa yang masih hilang meningkat melepasi 4,400 orang dengan lebih 1,000 orang terkorban, sekali gus mencerminkan skala kemusnahan luar biasa itu.Pasukan penyelamat terus berdepan cabaran sukar untuk menembusi kawasan berlumpur bagi mencari mangsa yang terselamat.


Malah, banyak kawasan tidak boleh diakses oleh pasukan penyelamat kerana lebih 20 jambatan telah musnah.



z

 
 
 

Comments


UEN 201920766R
© Humanity Matters 2023. All rights reserved.

  • Instagram
  • Facebook
  • Youtube
bottom of page