top of page

Pilih saluran yang betul untuk hulurkan bantuan kepada rakyat Palestin

Berita Harian | 13 Jan 2023


ETIAP kali terdapat penangkapan individu beragama Islam di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas sebab-sebab berkaitan pengganasan, termasuk menjadi radikal secara sendiri, masyarakat Islam di sini sedikit sebanyak merasakan kesannya.


Meskipun secara umum, masyarakat Singapura sedar bahawa tindakan individu yang bersikap ekstrem itu tidak mencerminkan nilai-nilai Islam sejati, namun Muslim di sini tidak dapat lari daripada perasaan seolah-olah 'kita sekali lagi menjadi tumpuan'.


Kelmarin, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengumumkan penangkapan seorang guru Kementerian Pendidikan (MOE), di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).


Mohamed Khairul Riduan Mohamed Sarip, 38 tahun, telah ditangkap Oktober lalu setelah menjadi radikal secara sendiri dan bersedia pergi ke Gaza, Palestin, untuk menyertai Hamas dan sayap tenteranya, Izz ad-Din al-Qassam Brigades (AQB), serta mengangkat senjata terhadap Pasukan Pertahanan Israel (IDF).


Dia merancang pergi ke Gaza kononnya untuk menyertai usaha bantuan kemanusiaan untuk mengelak daripada dikesan.


Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), dia juga terpengaruh dengan video oleh pendakwah asing yang radikal termasuk Ahmed Deedat dan Zakir Naik, yang meyakinkannya untuk menjalankan keganasan bersenjata.


Sedang masyarakat kecewa dengan penangkapan tersebut, terutama kerana individu yang terlibat merupakan seorang guru yang bertanggungjawab membentuk pemikiran generasi muda, namun penting untuk kita berfikiran jelas dalam hal ini.


Rancangan Mohamed Khairul yang terbongkar itu melibatkan kesediaannya menyertai sayap tentera Hamas untuk melakukan tindakan berunsur keganasan bersenjata mempunyai kesan meluas terhadap keamanan dan keharmonian yang menjadi tunggak kekuatan negara kita.


Tumpuan dan tindakan yang diambil oleh ISD adalah terhadap ideologi bahaya serta rancangan menggunakan keganasan dan kekerasan Mohamed Khairul, dan tidak disasarkan pada mana-mana kaum mahupun penganut agama.


Pada Disember 2020 seorang remaja 16 tahun berketurunan India beragama Kristian ditahan di bawah ISA kerana membuat perancangan rapi dan persiapan untuk menyerang Muslim di dua masjid di Woodlands pada 15 Mac 2020, sempena ulang tahun kedua serangan pengganasan di Christchurch, New Zealand.


Pelajar menengah empat yang berpegang pada fahaman Protestan itu, merupakan tahanan pertama yang terpengaruh oleh ideologi pelampau berhaluan kanan.


Malah, ancaman-ancaman yang dikesan itu mencerminkan hubungan kukuh antara agensi pemerintah dengan pertubuhan setempat - yang bekerja rapat bagi melindungi orang ramai, terutamanya pelajar dan pihak sekolah daripada ancaman yang tidak diingini.


ISU MENGGAMIT JIWA DAN PERASAAN


Kita sedia akur bahawa isu Palestin adalah isu yang dekat dengan hati masyarakat Melayu/Islam di sini.


Dalam podcast #NoTapis terbitan akhbar ini yang dirakamkan November lalu, Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohd Maliki Osman sendiri akur akan hakikat tersebut.

Nasib rakyat Palestin yang beragama Islam menjadi keprihatinan masyarakat Islam di sini, sekali gus menjadi isu yang dipenuhi emosi.


Namun, hakikatnya, kemelut Palestin dan Israel pada dasarnya adalah satu isu politik, bukan agama.


Ia merupakan satu isu rumit, dan mencapai huraian dua negara, harus menjadi kesepakatan yang dicapai antara penggerak politik kededua negara.


Meskipun demikian, Singapura sebagai sebuah negara, tidak hanya memeluk tubuh.


Malah, negara ini aktif dalam menghulurkan bantuan dan sokongan kepada Palestin - menerusi kededua usaha pemerintah dan pertubuhan bukan pemerintah.


Justeru, masyarakat di sini juga mempunyai saluran yang sah untuk menghulurkan bantuan dan sokongan, yang kesannya akan berkekalan.


Antaranya ialah Yayasan Rahmatan Lil 'Alamin (RLAF) yang telah melancarkan beberapa usaha kutipan dana sebelum ini untuk membantu penduduk Palestin di Gaza bagi menyediakan bantuan khidmat kesihatan, makanan dan sosial kepada masyarakat yang terjejas di sana.


Pemerintah juga telah menggandakan sokongan yang disampaikan kepada Palestin.


SOKONGAN, BANTUAN SINGAPURA BAGI PALESTIN


Pada 18 Oktober lalu, sebuah Pejabat Perwakilan Singapura di Ramallah telah dirasmikan Dr Mohd Maliki, dalam rangka lawatannya ke Palestin.


Pejabat tersebut bermatlamat menyelaras usaha pembinaan keupayaan seperti bantuan teknikal dan juga memperkukuh hubungan Singapura dengan Penguasa Palestin (PA), sekali gus memaparkan komitmen negara ini dalam menyokong keperluan pembinaan dan pembangunan kapasiti PA.


Menyusuli pembukaan rasmi Pejabat Perwakilan itu, Perdana Menteri Penguasa Palestin (PA), Dr Mohammad Shtayyeh, bertemu Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, untuk membincangkan cara untuk memperkukuh kerjasama antara Singapura dan Palestin.


Dr Mohammad Shtayyeh, juga bertemu Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 27 Oktober lalu, menegaskan komitmen Singapura untuk menyokong pembinaan keupayaan PA dan hubungan mesra dua pihak itu semasa lawatannya ke negara ini pada 26 hingga 29 Oktober lalu.


Sejak 2013, Singapura, antara lain, telah memberi manfaat kepada lebih 600 penerima di bawah Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (ETAP) bernilai $10 juta, yang menyokong pegawai PA meraih ilmu daripada kursus dan pendidikan ditawar Singapura, dan kemudian pulang ke tanah air untuk menyumbang dalam pembangunan negara.


Sebuah badan bukan pemerintah Humanity Matters menyediakan wadah kolaborasi dengan orang awam, sektor privet dan pendidikan dalam melaksanakan programnya di sini dan dalam rantau ini.


Dalam responsnya, Penasihat Khas Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad, berkata:

"Persekitaran dan cabaran kian berubah. Jika kita lihat bagaimana kumpulan pengganas, radikal dan ektremis telah dan sedang beroperasi dalam semua sudut - mengikut pelbagai bentuk dan naratif.


"Ini agar mereka dapat mencapai seberapa ramai orang yang boleh."


Justeru Encik Hassan menggesa agar wadah dan agensi kemanusiaan terus dipapar dengan lebih jelas dan mudah diakses agar mesej kemanusiaan yang penuh ihsan dapat dicapai kepada lebih ramai orang.


MENANGANI ANCAMAN RADIKALISASI BERSAMA


Ancaman radikalisasi, termasuk dalam talian, terus wujud dan penting bagi masyarakat mendapatkan ajaran dan bimbingan agama daripada pihak dan asatizah bertauliah dan diiktiraf.


Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menerusi Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), boleh menyalurkan masyarakat kepada golongan agamawan yang dapat memberikan pencerahan dan perspektif yang rasional, berlandaskan nilai-nilai agama yang sejati.


Terdapat juga golongan asatizah yang menganggotai Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang dapat membantu sekiranya kita bimbang ada anggota keluarga atau rakan-rakan kita yang mempamerkan ciri-ciri ekstrem.


Lebih baik mendapatkan intervensi awal sebelum terlambat.


Kaunselor RRG yang juga pakar motivasi dan pensyarah bebas, Ustazah Kalthom Muhammad Isa, berkata sikap membantu mereka yang memerlukan adalah sikap terpuji namun ia perlu disalurkan kepada cara yang terbaik - bersesuaian dengan keadaan dan undang-undang di setiap negara.


"Singapura mempunyai wakil rasmi ke Palestin dan kita boleh bekerjasama membantu keadaan ekonomi serta bidang-bidang kerja selain pembelajaran di sana menerusi kerjasama kedutaan masing-masing.


"Kita boleh manfaatkan kerjasama yang baik ini dan usah lakukan perjalanan ke negara-negara yang di landa peperangan kerana kita tidak mengetahui medan perang mereka," jelasnya dalam respons kepada akhbar ini.


Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata meskipun Singapura mempunyai dasar toleransi sifar terhadap individu yang mempertimbang untuk pergi ke luar negara untuk berlawan demi apa jua perjuangan, ia juga tidak akan mengambil pendekatan menjadikan negara ini ibarat sebuah kubu.


Selain mengambil langkah terhadap individu sedemikian ketika mereka berada di tahap perancangan, beliau berkata Singapura juga terus bekerja rapat dengan rakan kerja masyarakat dan pertubuhan untuk menyebarkan mesej yang menentang pengganasan.


RADIKALISASI: BAGAIMANA BOLEH ANDA BANTU


Orang ramai digesa laporkan kepada pihak berkuasa jika kenali sesiapa yang tunjuk tanda radikalisasi

  • Hubungi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) di 1800-2626-473.

  • Hubungi Muis menerusi talian 6359-1199 atau Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) menerusi talian 1800-774-7747 jika punya pertanyaan tentang agama.

  • Sertai sesi bimbingan bersama Rangkaian Belia Asatizah (AYN) di Masjid Al-Falah di Orchard Road Buat janji temu menerusi talian 6235-3172

Comments


bottom of page