top of page

Badan berbilang kaum, syarikat kumpul lebih $300,000 dalam 3 hari untuk Gaza

Berita Harian | 10 March 2024



Lebih $300,000 telah berjaya dikumpul oleh Humanity Matters sejak kutipan dana bagi membantu warga di Gaza dimulakan pada 8 Mac, kata Duta Kelana dan pengerusi Humanity Matters, Encik Ong Keng Yong.


Ini, menurut Encik Ong, akan membantu membiayai pembelian barangan bantuan kemanusiaan yang akan disediakan dan dihantar dalam beberapa hari akan datang oleh pertubuhan bukan pemerintah (NGO) tersebut.


Berucap semasa majlis penyerahan cek pada 10 Mac di Arts House, Encik Ong berkata beliau amat berbesar hati dengan sambutan baik daripada warga Singapura sejak badan tersebut memulakan pengumpulan dana pada Jumaat.


“Pengumpulan dana Humanity Matters hanya bermula dua hari lalu, dan menjelang petang ini, dengan kemurahan hati anda, kami akan mempunyai lebih daripada $300,000 untuk membantu memulakan pengumpulan dana ini.


“Paling penting, ini akan membantu membiayai kumpulan bantuan seterusnya dengan segera kepada golongan yang tidak bersalah di Gaza mulai minggu depan,” kata Encik Ong.



Pada 10 Mac, beberapa badan korporat, dewan perniagaan berbilang bangsa dan dermawan telah berkumpul di Arts House untuk menyerahkan cek kepada Humanity Matters bagi membantu penduduk yang terjejas akibat perang di Gaza.


Majlis penyerahan cek tersebut turut dihadiri Presiden Tharman Shanmugaratnam dan isteri Puan Jane Ittogi.


Dalam beberapa hari akan datang, Humanity Matters berkata mereka akan menghantar pakej bantuan kemanusiaan seberat 4 tan ke Gaza menerusi Jordan. Pakej bantuan itu merangkumi bekalan perubatan, makanan dan penghidratan serta pakej penjagaan untuk kanak-kanak.

Humanity Matters juga akan menghantar empat orang kakitangannya untuk mengiringi kargo bantuan ke Amman, Jordan, dan memudahkan penghantarannya ke Gaza.


Mereka juga akan membantu mendapatkan bekalan perubatan, makanan dan penghidratan di Jordan untuk membantu menangani isu penjagaan kesihatan, kelaparan dan penghidratan di Gaza.


Sebelum ini pada 9 Mac, warga Singapura tidak kira bangsa dan agama telah berkumpul di Tadika Soka di Tampines untuk membungkus 5,000 Kidz Comfort Packs bernilai $100,000 yang akan diberi kepada kanak-kanak yang terjejas akibat perang di Gaza.


Setiap pek mengandungi beg galas, bantal, vitamin, makanan ringan, botol air, bola mainan kecil atau stress ball dan mainan yang dibungkus oleh lebih 300 sukarelawan.


“Kami amat berbesar hati dan gembira mempunyai dewan perniagaan Cina, Melayu dan India, dan beberapa dermawan terkemuka yang telah bersedia dan segera melangkah ke hadapan sebagai respons kepada rayuan Humanity Matters.


“Semangat perpaduan dan belas kasihan inilah yang mendorong Humanity Matters untuk melakukan lebih banyak untuk mereka yang kurang bernasib baik, sambil kita meraikan kebaikan rakyat Singapura,” kata Encik Ong.


Ini merupakan pakej bantuan kedua yang dihantar oleh Humanity Matters untuk warga yang terjejas di Gaza sejak 7 Oktober 2023.


Pada November 2023, badan tersebut telah menghantar 9.4 tan keperluan perubatan dan kebersihan dari Singapura ke Gaza melalui Mesir.



Dalam acara yang berasingan di tempat yang sama, Tuan Presiden dan Puan Ittogi turut menyertai majlis yang dihadiri sekitar 150 pemimpin agama, anggota dan rakan Pertubuhan Antara Agama (IRO) Singapura bagi memperingati Hari IRO 2024.


Ditubuhkan pada 1949, IRO memainkan peranan menggalak dan memupuk keamanan antara agama dengan berkongsi nilai bersama di kalangan masyarakat agama.


Presiden IRO, Encik Noor Mohamed Marican berkata memandangkan dunia semakin bergelut dengan pelbagai krisis seperti peperangan, banjir, perubahan iklim, polarisasi dan berita palsu, amat penting untuk Singapura lebih prihatin dan mendapat sumber informasi yang betul.


“Apa yang berlaku di sekeliling kita pasti akan memberi kesan kepada rakyat kita, terutamanya dengan penggunaan media sosial yang meluas. Berita datang ke Singapura dan isi rumah kita dari pelbagai sumber dan hampir serta-merta.


“Maklumat, apabila salah disampaikan atau dimanipulasi, boleh menyebabkan salah faham, was-was dan kekacauan sosial, terutamanya jika ia berkaitan dengan isu sensitif yang melibatkan agama atau kaum.


“Oleh itu, penting bagi badan agama dan pemimpin masyarakat untuk menyediakan ruang yang membina untuk membimbing masyarakat tentang perbezaan yang boleh memecahbelahkan dan persamaan yang boleh menyatukan,” kata Encik Noor.


bottom of page