Humanity Matters bakal sediakan bekalan air, tempat perlindungan dalam fasa pemulihan mangsa banjir Nepal [Berita Mediacorp]
Berita Mediacorp | 19 Sept 2026

SINGAPURA: Pertubuhan kemanusiaan Humanity Matters sedang membuat persiapan untuk menghulurkan bantuan lanjut kepada masyarakat yang terjejas di Nepal.
Ia sebahagian usaha menyokong peralihan daripada fasa bantuan kecemasan kepada pemulihan sejak tragedi banjir yang berlaku pada 26 Ogos lalu.
Bantuan yang akan dihulurkan tertumpu kepada bekalan air minuman dan keperluan asas rumah seperti katil untuk sehingga 7,000 mangsa banjir.
Selain itu, Pengerusi Humanity Matters Ong Keng Yong berkata Humanity Matters merancang untuk menyediakan tempat perlindungan untuk kanak-kanak, khususnya mereka yang kehilangan ibu bapa atau penjaga.
Usaha tersebut disasarkan untuk dilaksanakan sebelum musim sejuk Himalaya bermula pada Disember.
Encik Ong berkongsi tentang rancangan itu di satu acara perhimpunan rakan kongsi Humanity Matters pada Sabtu (19 Sep).
Di acara tersebut, Penasihat Khas Humanity Matters, Hassan Ahmad juga mendedahkan bahawa badan tersebut merancang untuk memperluaskan rumah anak yatim yang dibangunkannya di Nepal pada 2015 bagi menempatkan kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa atau penjaga mereka.
Bagi menjayakan usaha bantuan Humanity Matters, seramai 300 sukarelawan dialu-alukan bagi dua kegiatan yang akan dianjurkan Humanity Matters termasuk pungutan derma pada Ahad (27 Sep) serta membungkus barangan bantuan pada 4 Oktober sebelum diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
Humanity Matters menetapkan sasaran sebanyak S$300,000 untuk dikumpulkan bagi menjayakan usaha bantuan bagi para mangsa di Nepal.
HUMANITY MATTERS BANTU USAHA KECEMASAN DI NEPAL
Pasukan tindak balas Humanity Matters (HM) sebelum ini berada di Nepal selama 10 hari bagi membantu Agensi Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal (NDRRMA) dalam fasa kecemasan menyusuli bencana banjir dan runtuhan salji.
Pasukan itu, yang mula bertugas pada hari ketiga bencana, pulang ke Singapura pada 7 September.
Encik Hassan berkata: "Ramai mangsa yang terselamat kehilangan tempat tinggal, insan tersayang serta mata pencarian. Membina semula kediaman di lokasi asal juga hampir mustahil memandangkan lumpur tebal dan batu-bata telah memusnahkan kawasan tanah serta persekitaran sekitarnya."
"Bagi mereka yang masih belum mengetahui nasib anggota keluarga yang hilang, mereka terus berdepan dengan kesedihan dan kebimbangan. Antara golongan paling membimbangkan ialah kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa atau penjaga. Selain perlu berdepan dengan trauma akibat bencana itu, kebajikan, kesejahteraan, perkembangan diri serta keselamatan mereka memerlukan perhatian dan penjagaan tambahan dengan segera," tambah Encik Hassan.
Di bawah arahan NDRRMA, Humanity Matters membantu menyediakan bekalan air kepada masyarakat terjejas serta kelengkapan perlindungan kesihatan untuk petugas barisan hadapan di antara kawasan paling teruk terjejas di wilayah-wilayah Nuwakot dan Rasuwa.
Menurut badan itu, operasi bantuan berdepan pelbagai cabaran termasuk kemusnahan meluas, hujan monsun berterusan dan kejadian tanah runtuh dari semasa ke semasa.
Namun, anggota Humanity Matters yang pernah terlibat dalam operasi menyusuli gempa bumi Gorkha pada 2015 menyifatkan penyelarasan dan pengurusan krisis kali ini sebagai lebih tersusun, sistematik, tertumpu dan cekap.
Encik Hassan berkata: "Sebagai contoh, di gudang utama bantuan di wilayah Nuwakot, pusat berkenaan hanya menerima barangan yang benar-benar diperlukan bagi operasi bantuan. Langkah itu membantu mengelakkan beban yang tidak perlu terhadap urusan logistik."
"NDRRMA pula menjalankan proses pengambilan sampel DNA daripada mayat yang ditemukan secara sistematik sebelum mengebumikannya dengan segera bagi mencegah penularan jangkitan. Setiap kubur turut ditandakan secara teratur bagi membolehkan mayat dikenal pasti dan digali semula sekiranya keputusan ujian DNA kemudian didapati sepadan dengan DNA anggota keluarga yang terselamat," tambah beliau lagi.
Encik Hassan yang mengetuai misi tersebut, berkata tahap kemusnahan di Nepal setanding dengan bencana besar lain yang pernah disaksikan sendiri pasukannya, termasuk tsunami di Aceh dan Sri Lanka pada 2004, Tohoku pada 2011 serta Palu pada 2018.
![赴尼泊尔人道救援 新加坡仁心组织讲述灾区实况 [Lianhe ZaoBao]](https://static.wixstatic.com/media/b0c197_4c461a3169cf49acaaaf29677265433d~mv2.png/v1/fill/w_980,h_551,al_c,q_90,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/b0c197_4c461a3169cf49acaaaf29677265433d~mv2.png)
![நேப்பாளத்திற்கு உதவும் சிங்கப்பூர் மனிதநேய அமைப்பு [Tamil Murasu]](https://static.wixstatic.com/media/b0c197_cc1db0d6a5784d33a9325d1c0aaa1ab4~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_601,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/b0c197_cc1db0d6a5784d33a9325d1c0aaa1ab4~mv2.jpg)
![Humanity Matters bakal beri bantuan lanjut kepada mangsa banjir Nepal [Berita Harian]](https://static.wixstatic.com/media/b0c197_742b931ea1234fcdb1ad5b1bab7e0b77~mv2.png/v1/fill/w_980,h_612,al_c,q_90,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/b0c197_742b931ea1234fcdb1ad5b1bab7e0b77~mv2.png)
Comments