Berita Harian | 15 November 2023
KAHIRAH: Bekalan bantuan kemanusiaan berjumlah 9.5 tan dari Singapura bagi mangsa di Gaza, telah diluluskan pihak berkuasa Mesir dan sedang dalam perjalanan untuk diserahkan kepada pihak kemanusiaan di Rafah, sebuah bandar di selatan rantau itu.
Dalam kenyataannya pada malam Selasa, badan pertubuhan tidak meraih untung, Humanity Matters, berkata kargo itu telah melepasi pemeriksaan pentadbiran pada 11 November dan akan menjalani pemeriksaan fizikal di Rafah oleh pihak kastam dan keselamatan sebelum merentas sempadan ke Gaza.
Pertubuhan itu telah mengerahkan satu pasukan empat anggota ke Mesir bagi memantau penghantaran bekalan itu pada 4 November.
Penasihat khas Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad yang menyertai rombongan itu berkata:
“Kargo bantuan perubatan kami dari Singapura, yang telah disediakan menerusi usaha kemanusiaan silang agama sebelum ini, kini sedang berada dalam perjalanan ke Rafah dan akan menyertai trak-trak yang sedang menunggu giliran mereka untuk merentas sempadan.”
“Rakan kami, Pertubuhan Sabit Merah Palestin di Gaza, sudah diberitahu mengenai bekalan perubatan kami ini dan sudah bersedia untuk menerimanya.”
Humanity Matters dalam kenyataannya berkata Kementerian Perpaduan Sosial dan Kementerian Kewangan Mesir telah menjalankan pemeriksaan pentadbiran tambahan terhadap pasukan dan bekalan kemanusiaan yang bakal dihantar ke Gaza menerusi Kahirah ekoran keprihatinan keselamatan yang dipertingkat.
Hanya bekalan bantuan kemanusiaan sahaja dibenarkan masuk ke Gaza menerusi sempadan Rafah, tambahnya.
Bekalan bantuan bernilai $215,000 dari Singapura itu merangkumi 10,000 drip intravena (IV), 5,000 set tiub pemberian ubat bagi merawat kehausan dan pesakit pasca pembedahan, serta vitamin dan ubat kurangi kesakitan.
Pakaian perlindungan musim sejuk seperti selimut ringan serta bekas air mudah alih bagi penduduk menyimpan bekalan air jernih untuk diminum, juga ditawar bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
Bekalan tersebut telah dibungkus oleh lebih 100 relawan berbilang agama pada 29 Oktober.
Rombongan Humanity Matters di Mesir itu pula terdiri daripada; Encik Hassan, seorang jurutera Encik Zohree Wahab, seorang guru Encik Steve Aw dan ketua program dan penyelaras Humanity Matters, Cik Hema Niroshini.
Usaha menghantar bekalan ke Gaza itu dilakukan dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Pertubuhan Sabit Merah Palestin, Sabit Merah Mesir dan Sabit Merah Turkey.
Mereka turut akan memantau pihak-pihak berkepentingan bagi menyelaras penghantaran bekalan tersebut di Gaza, serta keadaan di dua kawasan tapak pelancaran operasi iaitu di Ismailia dan El Arish, Mesir, terletak di selatan Gaza.
Menyentuh tentang persekitaran operasi di sana, Encik Hassan, yang pernah memimpin beberapa misi bantuan kemanusiaan di Gaza pada 2009 dan 2012 berkata, keadaan misi kali ini lebih mencabar.
“Tidak seperti usaha bantuan kemanusiaan di Gaza sebelum ini yang pernah kami menyertai, konflik kali ini bukan sahaja lebih meluas dan ganas, tetapi ia juga masih berterusan.
“Tambahan pula, krisis ini juga melibatkan secara langsung beberapa negara yang berkongsi sempadan negara masing-masing, dan ia bertambah rumit disebabkan minat serta hubungan pihak antarabangsa lain yang berbeza-beza.”
etegangan di Gaza tercetus selepas kumpulan militan Hamas, yang beroperasi di Gaza, wilayah Palestin, melakukan serangan di Israel pada 7 Oktober, menyebabkan lebih seribu orang terkorban dan ratusan penduduk dijadikan tebusan.
Israel telah melaksanakan langkah tindak balas untuk menghapuskan Hamas dengan melancarkan serangan dari udara dan tanah dan angka korban di Gaza sudah mencecah lebih 11,000 orang.
Sekitar dua pertiga daripada 2.3 juta penduduk di Gaza kehilangan tempat tinggal dan tidak berupaya meninggalkan rantau itu yang mana bekalan air, makanan, minyak dan perubatan semakin berkurang.
“Bagi pihak Humanity Matters, yang kali ini berusaha untuk menghantar bantuan kemanusiaan ini secara peribadi dari Singapura, tumpuan kami sekarang adalah untuk menjalankan misi ini dengan berkesan, lancar dan selamat dalam persikitaran operasi yang agak baru dan kian berubah,” kata Encik Hassan.
Pihak Humanity Matters juga akan berbincang dengan rakan kerjasamanya di Mesir dan Gaza untuk mengenal pasti bantuan kemanusiaan tambahan yang diperlukan mangsa di Gaza bagi jangka masa pendek dan sederhana.
Setiausaha Agung Sabit Merah Palestin (Kaherah) Encik Tarek Arafat turut mengucapkan terima kasih kepada warga Singapura yang telah menghulurkan derma dan bantuan bagi mangsa di Gaza.
“Sumbangan anda telah menyentuh hati kami dan kami menghargai perpaduan dan petunjuk kemanusiaan anda,” katanya.
Commenti