top of page

Sokongan SG bagi ketetapan PBB cerminkan pendirian jelas Singapura terhadap konflik Israel-Hamas: Shanmugam

Berita Mediacorp | 29 Oct 2023




SINGAPURA: Undian Singapura menyokong ketetapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi melindungi keselamatan orang awam dan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa di Carikan Gaza adalah satu undian signifikan.


Menteri Undang-undang dan Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam berkata ia mencerminkan pendirian jelas Singapura terhadap keadaan di Gaza.


"Ketetapan itu menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap keganasan yang semakin teruk sejak 7 Oktober. Ia menyeru bagi kedamaian kemanusiaan yang segera, membawa kepada tamatnya permusuhan dan menyeru bagi bantuan barangan keperluan yang segera, berterusan dan tidak terhalang buat orang awam di Gaza," kata Encik Shanmugam.


Encik Shanmugam menyatakan komen tersebut di satu acara kesukarelawanan yang dianjurkan Humanity Matters pada Ahad (29 Okt) untuk membungkus lebih 8 tan bekalan bantuan yang akan dihantar kepada penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal.


Singapura merupakan antara 120 negara yang menyokong ketetapan tersebut.


Walau bagaimanapun, Encik Shanmugam akur bahawa ketetapan tersebut tidak menjelaskan gambaran menyeluruh.


Encik Shanmugam menjelaskan, "Terdapat dua bidang pada prinsipnya yang sepatutnya terkandung dalam ketetapan itu. Pertama, kita masih perlu mengutuk serangan pengganas oleh kumpulan Hamas pada 7 Oktober yang tidak boleh dipertahankan."


"Kedua, kita perlu maklum bahawa ia adalah hak Israel untuk mempertahankan diri tetapi hak mempertahankan diri itu tidak boleh dilakukan dengan cara membunuh orang awam secara sembarangan dan ia mesti dilakukan mengikut undang-undang antarabangsa," tambah beliau lagi.


Dalam pada itu, Encik Shanmugam turut berkongsi pendapat beliau mengenai kandungan-kandungan yang dimuatnaikkan secara online meskipun dengan langkah pihak berkuasa untuk menolak sebarang permohonan untuk mengadakan acara dan perhimpunan awam yang ada kaitan dengan konflik Israel-Hamas.


"Mengenai perhimpunan awam di Hong Lim Park, kita tidak membenarkannya atas sebab-sebab keselamatan awam. Kita perlu ingat, perhimpunan awam kalau dibenarkan untuk satu kumpulan, kita perlu benarkannya untuk kumpulan lain. Kumpulan agama yang berbeza ingin menganjurkan perhimpunan awam itu," kata Encik Shanmugam.


Beliau menambah, "Kita memutuskan untuk tidak membenarkan perhimpunan awam oleh sesiapa pun. Kita tidak mahu membawa masuk pertelingkahan luar ke dalam Singapura."


Beliau akur bahawa ada keperluan dan keinginan masyarakat untuk melakukan sesuatu tetapi ia perlu dilakukan dengan cara yang bernas.


SESI DIALOG BERSAMA PEMIMPIN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM


Awal sebelum itu, Encik Shanmugam turut menghadiri satu sesi dialog dengan lebih 200 pemimpin masyarakat Melayu/Islam pada Sabtu (29 Okt), yang mana perbincangan mengenai konflik di Gaza diadakan.



Dari sesi tersebut, beliau berkata para pemimpin masyarakat dapat gambaran yang lebih menyeluruh mengenai perspektif-perspektif berbeza mengenai isu tersebut.


Encik Shanmugam yang juga Menteri Undang-undang berkata, "Terdapat banyak maklumat yang salah dan tidak sahih yang disebarkan mengenai apa yang sedang berlaku dan pendirian pihak pemerintah. Misalnya, apakah maksud huraian dua negara? Adakah ini sekadar kata-kata sahaja? Apakah kedudukan Singapura?"


"Kita sudah katakan dan kita mengundi menentang penempatan haram. Kita mengatakan ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, penempatan haram oleh Israel. Kita juga mengundi menentang Baitulmakdis menjadi ibu kota Israel. Pada masa yang sama, kita juga menyokong hak Israel untuk wujud sedangkan kumpulan Hamas mahu menghapuskan Israel daripada peta dunia," jelas beliau lagi.


HUMANITY MATTERS SIAPKAN LEBIH LAPAN TAN BANTUAN BERNILAI S$215,000


Encik Shanmugam juga memaklumkan pihak media bahawa acara anjuran Humanity Matters hari ini (28 Okt) merupakan acara kemanusiaan yang kedua dihadiri beliau dalam masa dua hari.



Lebih 100 relawan dan aktivis daripada 10 badan silang agama turun padang untuk membungkus lebih lapan tan bekalan bantuan yang akan dihantar kepada penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal.


Bekalan bantuan itu termasuk 10,000 pek cecair intravena (IV), 5,000 'jerry can' air bersih, serta ubat-ubat mengurangkan rasa sakit dan vitamin.


Bernilai sekitar S$215,000, bekalan bantuan itu dijadual akan diterbangkan ke Kaherah, Mesir pada Selasa (31 Okt) dan kemudiannya dibawa ke Rafah.



Menurut Penasihat Khas Humanity Matters, Hassan Ahmad, bekalan bantuan tersebut mungkin akan bertahan buat sebulan.


"Ia bergantung kepada situasi di sana. Bekalan untuk dimakan mungkin boleh bertahan buat tiga hingga empat minggu. Kita berharap ia akan dapat membantu seramai mungkin para penduduk Gaza yang sudah kehilangan tempat tinggal, tetapi kita juga maklum bahawa sudah terlalu ramai penduduk yang kehilangan tempat tinggal," kata beliau.



Dalam pada itu, Encik Shanmugam juga menyanjung usaha para relawan yang meluangkan masa mereka untuk menghulurkan bantuan.


"Apabila Humanity Matters mula untuk mendapatkan para relawan untuk usaha ini seminggu lalu, pendaftarannya sudah melebihi had sebanyak 200 peratus. Ini mencerminkan keinginan dan kesediaan rakyat Singapura untuk tampil ke hadapan apabila melihat orang lain yang memerlukan bantuan keperluan asas," kata Encik Shanmugam.



Para relawan yang hadir membungkus bekalan bantuan itu termasuk relawan dari Community on Patrol (COP), Cik Ekta Khosla.


"Saya rasa berbesar hati dapat membantu manusia lain. Inilah tentang Singapura di mana kita semua berbeza tetapi dalam waktu yang memerlukan, kita akan bersama sebagai satu keluarga dan menghulurkan bantuan," ujar Cik Ekta.


Cik Nurul Hamzah dan tunangnya, Encik Ariandy Majid pula berkata, "Kita tidak boleh menolong mereka secara langsung di Gaza tetapi sekurang-kurangnya kita dapat berikan tenaga kita sebab itu kita ada di sini untuk membantu."


Pihak Humanity Matters juga memaklumkan bahawa ini merupakan pusingan pertama bantuan yang akan dihulurkan.


Encik Hassan dan tiga lagi pegawai lain yang akan ke Kaherah, Mesir pada Selasa (31 Okt) akan membuat penilaian lanjut mengenai situasi di sana sebelum membuat keputusan seterusnya.


Comments


bottom of page