top of page

PM Wong: Konflik di Gaza cerminan keadaan dunia hari ini, rakyat perlu bersatu

Berita Harian | 2 Mar 2025


Konflik berterusan di Gaza mencerminkan keadaan dunia hari ini di mana percaturan dunia kian berubah di samping munculnya tanda-tanda bahaya serta pergolakan yang makin meruncing.


Justeru Singapura hanya akan dapat mengharungi situasi baru dengan jayanya jika warganya kekal kuat dan bersatu sebagai sebuah rakyat, tegas Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, ketika menghadiri acara pembungkusan bantuan dan buka puasa anjuran Humanity Matters pada 2 Mac.


“Apa yang menyedihkan ialah konflik berterusan di Gaza... mencerminkan keadaan dunia kita hari ini. Kuasa besar dunia terjerat dalam persaingan sengit, institusi dan norma global semakin terhakis. Malangnya, dunia mula menyerupai hutan tanpa undang-undang di mana kekuatan dianggap sentiasa betul.


“Kita sedang melangkah ke dalam situasi yang baru dan kita hanya akan berjaya mengharunginya jika kita kuat serta bersatu padu sebagai sebuah rakyat.


“Jadi petang ini, sedang kita menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan di luar negara, kita juga harus menghargai dan mempertahankan apa yang kita nikmati di sini – iaitu satu masyarakat yang hidup bersama dengan aman damai tanpa mengira kaum dan agama,” ujar Encik Wong.


Beliau menambah bahawa semangat perpaduan inilah yang membuat Singapura istimewa dan akan membolehkan negara ini mengharungi semua cabaran serta membina masa depan yang lebih cerah.


Berlangsung di Sree Narayana Mission (SNM) di Yishun, acara tersebut melibatkan 300 sukarelawan pelbagai bangsa dan agama yang menyumbang tenaga membungkus 5,000 ‘Kidz Comfort Pack’ (KCP) yang bakal diberikan kepada mangsa kanak-kanak di Gaza.


PM Wong akur meskipun Gaza terletak jauh dari Singapura, sebagai sesama manusia, “kita di sini juga dapat merasakan sedikit sebanyak penderitaan mereka”.


Malah, Singapura, katanya, tidak berupaya membiarkan krisis kemanusiaan di sana berlarutan tanpa peduli.


Oleh itu, Singapura akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan di Timur Tengah untuk memenuhi keperluan genting di Gaza.


“Selain daripada menyediakan bantuan kemanusiaan, Singapura juga akan menyokong sepenuhnya usaha-usaha antarabangsa bagi mewujudkan sebuah tanah air dan negeri untuk rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada huraian dua negara yang dirundingkan.


“Kita akan terus menyokong usaha-usaha untuk membina keupayaan Penguasa Palestin dan menghulurkan sokongan kepada rakyat Palestin apabila mereka mentadbirkan negara mereka sendiri kelak,” kata Encik Wong.


Di acara tersebut, satu Memorandum Persefahaman (MOU) telah ditandatangani antara Pacific International Lines (PIL) dengan Humanity Matters bagi kerjasama dalam usaha kemanusiaan dan peningkatan masyarakat dengan tumpuan kepada negara-negara di Asean dan Timur Tengah.


Turut hadir pada acara pembungkusan bantuan dan buka puasa itu ialah Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; serta Penasihat Akar Umbi lain GRC Nee Soon.


Ini merupakan acara pembungkusan bantuan keempat yang dijalankan Humanity Matters berikutan kejayaan pembungkusan pada Mac 2024, dan penghantaran serta pengedaran 5,000 KCP di Gaza pada Julai 2024.


Para sukarelawan juga disertai pemimpin masyarakat dan akar umbi bagi acara berbuka puasa beramai-ramai di sana.


Comments


UEN 201920766R
© Humanity Matters 2023. All rights reserved.

  • Instagram
  • Facebook
  • Youtube
bottom of page