top of page

Jejak warisan sejarah di kawasan Bencoolen

Berita Harian | 13 August 2019

 


MENGENALI dengan lebih mendalam lagi tentang warisan dan sejarah yang terdapat di sepanjang 1.7 kilometer sekitar kawasan Bencoolen.


Ini termasuk mengunjungi lapan institusi dan tempat beribadah pelbagai agama yang berpangkalan di situ seawal 1800-an sehingga kini.


Itulah pengalaman serta pengetahuan yang telah ditimba seramai 60 peserta dari pelbagai latar belakang dan usia sewaktu mengikuti program warisan antara agama, 'Faithful Footprints' semalam.


Program setengah hari yang diadakan buat julung kalinya itu telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, yang juga merupakan Menteri Kewangan.


Program tersebut bertujuan untuk memperkenalkan para peserta - terdiri dari rakyat Singapura, para pelajar, penduduk tetap serta rakyat baru negara ini - kepada pelbagai budaya yang menarik yang telah wujud di Bencoolen sejak dua abad yang lalu.


Di samping itu, para peserta turut diberi perkongsian bagaimana pelbagai masyarakat migran daripada pelbagai kaum dan agama telah wujud secara harmoni dan menyumbang terhadap perkembangan sosio-ekonomi Singapura.


Selain menjejaki warisan dan sejarah kawasan tersebut, program yang diperkenalkan Yayasan Temasek, dengan kerjasama organisasi pertubuhan bukan pemerintah (NGO), Humanity Matters dan disokong oleh Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, turut merangkumi kunjungan dan sesi dialog bersama Encik Heng di Galeri Harmoni dalam Kepelbagaian (HDG).


Pada akhir program tersebut, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman yang telah ikut sertai program tersebut bermula pagi semalam di Kuil Sri Krishnan berkata rakyat Singapura perlu meneruskan warisan nenek moyang kita dalam memajukan negara serta mengekalkan keharmonian.


"Kepaduan sangat penting. Kita harus sedar bahawa kita telah melangkah jauh, namun sebuah negara moden dan makmur tidak terlepas daripada cabaran baru yang lebih rumit," ujar Dr Maliki yang juga Mayor CDC South East.


Program ini telah memberi kesempatan kepada pelajar Madrasah Al-maarif Al-Islamiah, Siti Aisyah Yusri, 17 tahun, mengenali tentang budaya dan agama lain yang terdapat di Singapura.


Mengulas tentang program tersebut, beliau berkata:


"Sebelum ini memang saya tidak berpeluang mendekati masyarakat dari budaya dan agama lain kerana telah menghadiri sekolah madrasah sejak kecil.


"Dengan adanya program sebegini, kami bukan hanya dapat mengunjungi tempat-tempat beribadah agama lain, malah berkongsi dan menimba ilmu tentang agama mereka menerusi sesi perkongsian. Ia banyak memanfaatkan kami."

bottom of page