Humanity Matters & ASEAN CARE sediakan air bersih, perlindungan sementara di Myanmar
- Humanity Matters
- Mar 30
- 2 min read
Berita Mediacorp | 30 March 2025

NAYPIDAW: Pasukan 10 anggota Humanity Matters dan ASEAN CARE kini berada di dua kawasan bencana di Myanmar iaitu di Mandalay dan Naypidaw.
Selain memberi bantuan kecemasan, mereka juga menyediakan sistem rawatan air untuk membekalkan air bersih dan air minum buat para mangsa di beberapa lokasi di kedua-dua bandar itu.
Menurut Penasihat Khas Humanity Matters, Hassan Ahmad, usaha itu juga bagi membekalkan air bersih untuk rawatan pesakit dan mangsa di hospital-hospital.
"Kemusnahan di ibu kota Myanmar ini terlihat di beberapa kawasan dan pasukan kami sedang menyediakan beberapa tempat untuk pengolahan air. Ini untuk membekalkan air bersih dan air minum kepada para penduduk yang terjejas. Bekalan air bersih ini juga amat penting untuk hospital-hospital di sini yang terjejas yang kini merawat ribuan mangsa yang cedera," kata Encik Hassan.
Selain kemudahan-kemudahan seperti hospital yang terjejas, jalan raya yang mengalami kerosakan turut menyulitkan lagi misi bantuan.
Ini diburukkan lagi dengan cuaca panas yang membahang di Myanmar.
"Pasukan Humanity Matters juga sudah mula mengagihkan kanvas-kanvas atau 'tarpaulin' sebagai perlindungan sementara kepada penduduk terjejas yang telah ditimpa bencana ini lebih-lebih lagi suhu atau cuaca panas yang mencecah 37 darjah Celsius," kongsi Encik Hassan.
"Dalam perjalanan darat kami dari Yangon ke Naypidaw semalam, kami telah menempuhi banyak tempat yang terjejas di mana ada kerosakan besar pada jalan raya. Jalan yang biasanya mengambil masa 4 jam kini mengambil masa selama 7 jam untuk membawa kami ke Naypidaw semalam. Satu lagi pasukan kami sedang menuju ke pusat gempa di Mandalay di mana kemusnahan lebih teruk dan dahsyat di sana," tambahnya.
Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter dengan kedalaman 10 kilometer melanda kira-kira 19 kilometer ke barat laut Mandalay, Myanmar pada Jumaat (28 Mac).
Gempa susulan berukuran 6.4 pada skala Richter pada kedalaman yang sama, memburukkan lagi kesan gempa pertama.
Angka korban akibat gempa itu sudah melepasi 1,600 jiwa dan lebih 3,400 yang lain cedera.
Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dengan hampir 140 mangsa masih dilaporkan hilang.
Comments