top of page

Edisi keempat 'Faithfully ASEAN' dilancarkan sempena Hari Perpaduan Manusia Antarabangsa PBB

Berita Mediacorp | 23 Dec 2022





SINGAPURA: Kepelbagaian boleh jadi satu kekuatan dan penting untuk membina ikatan kukuh antara masyarakat berbeza agar bersatu teguh dalam waktu krisis.


Demikian ditekankan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Indranee Rajah, semasa berucap di acara pembukaan rasmi acara 'Faithfully ASEAN 2022' pada Selasa (20 Dis).


Acara yang dianjurkan persatuan Humanity Matters itu diadakan bersempena Hari Perpaduan Manusia Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).


Acara itu dihadiri sekitar 150 delegasi ASEAN serta para pemimpin agama, masyarakat dan belia. Lebih sepertiga daripada mereka merupakan peserta dari luar negara.


MEMBANGUNKAN MASYARAKAT INKLUSIF ADALAH SATU USAHA BERTERUSAN


Tetamu kehormat, Cik Indranee mengalu-alukan kedatangan para hadirin dari dalam dan luar negara dan berharap ikatan dapat terjalin dalam kalangan mereka bagi membina ASEAN yang kukuh dan berdaya tahan.


"Ia penting untuk membina hubungan yang kukuh merentasi masyarakat yang berbeza agar kita boleh menjadi teguh dalam perpaduan semasa krisis. Kepelbagaian juga boleh menjadi sumber kekuatan, jika dimanfaatkan dengan sewajarnya."



"Ini terbukti bukan sahaja untuk Singapura, tetapi juga untuk rantau ini dan ASEAN. Dengan kepelbagaian, kita dapat menjana idea dan amalan yang kaya yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan luar," kata Cik Indranee.


Cik Indranee juga berkata bahawa manusia harus mencari jalan untuk mengukuhkan hubungan berdasarkan nilai-nilai yang dikongsi bersama, meskipun menerusi pemahaman dan ajaran agama yang berbeza.


Malah, Cik Indranee juga menekankan bahawa kepelbagaian warisan dan budaya masyarakat membentuk bahagian penting identiti Singapura.


Ia juga kata beliau merupakan satu usaha berterusan untuk memastikan Singapura kekal sebagai masyarakat inklusif untuk semua orang.


CARI RUANG DAN MASA UNTUK MENGENALI MASYARAKAT LAIN


Pada hari pertama acara tiga hari itu, sebuah sesi dialog juga diadakan.


Ia disertai pemimpin agama Kristian, Islam, Sikh dan Hindu bagi berkongsi mengenai prinsip dan tradisi kitab-kitab agama yang membimbing pergaulan dan perpaduan dalam kalangan manusia.





Timbalan Mufti Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan, salah seorang anggota panel itu berkata bahawa manusia perlu meraikan kepelbagaian dalam dunia termasuk dari segi agama atau bahasa.


Ustaz Dr Hannan berkata, "Kepentingan kita untuk memahami kepelbagaian dalam konteks hari ini kerana pertama sekali kehidupan kita bertambah pelbagai dan rencam. Itulah hakikat kehidupan. Dunia globalisasi yang menyebabkan kepelbagaian ini semakin dekat kepada kita dan kita tidak boleh menafikan kepelbagaian ini dan kita harus belajar untuk menangani kepelbagaian ini dengan penuh rasa hormat di antara kita.


"Ini semua perlu berdasarkan prinsip-prinsip yang jelas di mana kita menghormati manusia dan kemanusiaan, nilai rahmah, sayang pada orang lain. Ini juga disetujui para anggota panel tadi tidak kira agama, di mana prinsipnya jelas di mana kita harus menghargai kepelbagaian," tambah beliau.




Dalam pada itu, Ustaz Dr Hannan juga menggalakkan golongan manusia untuk mengambil masa dan ruang untuk cuba mengenali antara satu sama lain.


"Kalau kita duduk dalam kalangan kita sahaja, tidak mendedahkan kepada dunia lain, orang lain dan kepelbagaian ini, di sini yang menyebabkan kita kurang memahami. Langkah pertama untuk kita cinta adalah untuk mengenali, bukan sahaja orang sekulit, sebahasa kita," ujar beliau.


Malah, Ustaz Dr Hannan juga mengatakan bahawa proses mengenali antara satu sama lain perlu bersifat dua hala. Manusia menurut beliau perlu lebih yakin dan berani untuk "bersikap terbuka" agar orang lain juga dapat mengenali diri kita.


PAMERAN MAYA TENTANG KEPERCAYAAN AGAMA DILANCARKAN


Selain forum, sebuah pameran maya interaktif Faiths@Work turut dilancarkan di acara pembukaan acara 'Faithfully ASEAN 2022' yang diadakan di Hotel Furama Riverfront.


Pameran tersebut dijayakan oleh lima relawan belia tempatan yang memaparkan program-program serantau yang pernah dijalankan dalam program tersebut sepanjang tiga tahun lalu.



Antara projek yang dijalankan di bawah program tersebut termasuk pemasangan sistem pembersihan air untuk para penduduk di Baseco, Filipina untuk menangani keperitan kewangan yang menjejas kehidupan mereka.


Pameran itu juga boleh disediakan di wadah online dan boleh dikunjungi orang ramai menerusi pautan berikut - https://www.faithfullyasean.sg/fwexhibition


Acara 'Faithfully ASEAN' yang dijalankan bersempena Hari Perpaduan Manusia Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan berlangsung selama tiga hari sehingga Khamis (22 Dis).


Para peserta acara tersebut antara lain akan menyertai program-program jejak budaya di pelbagai rumah-rumah agama, selain menghadiri sesi forum mengenai radikalisme dan dialog penutup yang bertemakan "Inklusiviti: Cabaran & Peluang".



bottom of page