top of page

CSCS@Heartlands dilancarkan; lebih banyak peluang untuk bincang & fahami budaya, agama masyarakat la

Dasar-dasar pemerintah seperti Dasar Integrasi Kaum (EIP) penting untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum dan agama tetapi usaha itu sendiri tidak memadai.


Berita Mediacorp | 23 July 2022




SINGAPURA: Dasar-dasar pemerintah seperti Dasar Integrasi Kaum (EIP) penting untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum dan agama tetapi usaha itu sendiri tidak memadai.


Oleh itu mengadakan acara-acara secara aktif menurut Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, boleh membantu untuk galak interaksi sosial dan mengukuhkan lagi tali hubungan dalam masyarakat.


Ini termasuk program siri dialog silang agama Common Senses for Common Spaces (CSCS) @ Heartlands yang dilancarkan Encik Lee sendiri siang tadi (23 Jul)


"Ia adalah tambahan bermanfaat kepada usaha-usaha kita untuk membina pertalian masyarakat tempatan yang kukuh," kata Encik Lee.

Program bersiri itu adalah lanjutan kepada usaha CSCS oleh pertubuhan silang agama, Humanity Matters yang dimulakan pada 2016.


Dengan pelancaran CSCS@Heartlands itu, masyarakat boleh menjangkakan lebih banyak program silang agama itu dianjurkan di kawasan-kawasan kejiranan.


Ia juga bertujuan mendampingi pegawai, anggota dan aktivis akar umbi dari Majlis Bandaran, Kelab Masyarakat dan juga guru-guru sekolah.


FAHAMI AMALAN GUNA ASAP & WANGIAN DALAM PELBAGAI AGAMA DAN BUDAYA


Tirai perbincangan juga dibuka dengan sesi dialog pertamanya di majlis pelancaran siang tadi (23 Jul) di Auditorium MND.


Dengan ketibaan Festival Zhong Yuan atau ada yang mengenalinya sebagai 'Hungry Ghost Festival' pada minggu depan, judul 'Holy Smoke' atau perihal asap bagi upacara keagamaan dipilih bagi dialog sulung itu.


Amalan membakar dupa atau penggunaan asap dan wangi-wangian dalam beberapa fahaman agama dan budaya dibincangkan bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman.


Dalam hal itu, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berkata: "Kita mengamalkan agama kita bukan hanya di tempat-tempat keagamaan tetapi juga di ruang-ruang yang kita kongsi dengan masyarakat lain seperti kolong blok dan halaman rumah."


"Jadi kita perlu peka untuk laksanakan amalan agama secara bertanggungjawab, dengan cara yang bertimbang rasa kepada orang lain dan dalam masa yang sama,menghormati dan memahami amalan kumpulan lain," tambah beliau.

Encik Lee juga berpendapat bahawa sesi dialog seperti itu juga membolehkan para hadirin mengajukan soalan dalam ruang yang selamat dan mendapatkan jawapan daripada mereka yang ahli dalam masyarakat itu.


Sekitar 150 peserta dari pelbagai latar belakang dan usia berkumpul untuk menyertai perbincangan itu.


Mereka yang hadir termasuk aktivis dan pemimpin silang agama, karyawan serta para pelajar termasuk pelajar madrasah Muhammad Safwan Rosli, 17 tahun.


Safwan berkata: "Acara seperti ini amat penting kerana kita di Singapura hidup di dalam satu masyarakat yang pelbagai kaum jadi kita ada pemahaman dan pendirian yang berbeza. Untuk sama-sama memaju ke hadapan kita harus memahami antara satu sama lain supaya kita boleh dapat berdiri atas satu pendirian yang sama."


"Sebuah perkara menarik yang saya pelajari adalah tentang pemahaman agama Tao, tentang upacara mereka lakukan, membakar kertas-kertas sembahyang. Sebelum ini saya fikirkan itu satu upacara sahaja tetapi saya faham sekarang ia adalah benda yang penting untuk memahami diri mereka dari segi rohani."

Dalam pada itu, Encik Lee berkongsi bahawa menjelang bukan ketujuh dalam kalendar Lunar, para pemimpin budaya dan agama dalam kalangan masyarakat Cina sudah berusaha untuk menggalak pembakaran kertas-kertas sembahyang secara bertanggungjawab.


"Kumpulan ini bekerjasama untuk menggalak masyarakat Cina untuk bertimbang rasa kepada jiran-jiran mereka dan alam sekitar dalam melaksanakan amalan tradisi ini," kata Encik Lee.


Menurut beliau lagi, pendekatan di Singapura bukanlah untuk menjauhi perbezaan budaya tetapi meraikannya dengan mencipta peluang bagi kumpulan berbeza untuk berinteraksi bagi membina rasa hormat dan saling memahami.


Ini agar kita dapat menyelesaikan segala perselisihan dengan cara yang damai sekiranya ia terjadi dan mencari cara untuk terus berdampingan secara harmoni.


CSCS@Heartlands akan berlangsung hingga Mac tahun depan dan dijangka akan menjangkaui sehingga 1,000 warga Singapura.


Ia juga akan dijalankan di lima kawasan perumahan.

bottom of page