top of page

BAKTISG: Humanity Matters satukan masyarakat berbilang kaum dan agama demi tujuan kemanusiaan

Berita Mediacorp | 2 Aug 2023





SINGAPURA: Dalam masa empat tahun sejak penubuhannya, pertubuhan kemanusiaan silang agama Humanity Matters sudah menjalankan hampir 40 program kemanusiaan dan kemasyarakatan di dalam dan luar negara.


Setakat ini, ia juga sudah menghulurkan bantuan kecemasan di 14 buah negara yang dilanda bencana alam termasuk di Indonesia, Turki dan Palestine.


Malah Humanity Matters merupakan antara pertubuhan bukan Pemerintah (NGO) yang diberi kebenaran memasuki Myanmar pada Mei lepas untuk membantu penduduk di wilayah Sitwee dan Rakhine susuli taufan Mocha.


Ini sedang negara itu dicengkam pergolakan politik yang meruncing. "Pihak kami sudah berpeluang untuk berkhidmat di wilayah Rakhine sejak bulan Mei lalu setelah wilayah tersebut dilanda 'Super Typhoon Mocha', kongsi Penasihat Khas Humanity Matters, Hassan Ahmad. "Mungkin dari segi politik ia sedikit sensitif, dari segi keselamatan ia memang agak berbahaya, namun dengan kenalan kami di wilayah Rakhine, kami dapat bekerjasama dengan NGO di sana untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan dan juga keperluan asas di wilayah tersebut," tambah beliau.


Dari Kiri, Ahmad Zohree Abdul Wahab, Nur Atikah Maturina Ahmad Jamal (Gambar: Nurfazirah Azman)

Encik Hassan juga menghargai sokongan dan sumbangan masyarakat terhadap usaha-usaha Humanity Matters.


"Humanity Matters mendapatkan sokongan kebanyakannya dari pihak yayasan-yayasan dan badan-badan korporat di Singapura dan juga di Asia Tenggara, dari segi dana dan juga kemahiran mereka," kata Encik Hassan Ahmad.


BANTU MANGSA BENCANA ALAM DI LUAR NEGARA


Sumbangan 2,300 sukarelawannya juga amat dihargai bagi menjayakan program-program pertubuhan itu.


Antaranya ialah Encik Ahmad Zohree Abdul Wahab, 41 tahun.


Selain projek Humanity Matters dalam negara, Encik Ahmad juga pernah terlibat dalam bantuan kecemasan di daerah Magelang, Jawa Tengah, berikutan letusan Gunung Merapi pada 11 Mac 2023.



(Gambar: Nurfazirah Azman)

"Pada tahun lepas, kita ke Jogjakarta, Indonesia di Gunung Merapi, jadi kami tolong siapkan tempat air untuk mereka di perkampungan. Jadi kalau gunung merapi meletus, penduduk ada air yang bersih untuk digunakan," kongsi Encik Ahmad Zohree.


Beliau merupakan sebahagian daripada program kesediaan risiko masyarakat, respons dan daya tahan Humanity Matters, Faiths@Work.


Program itu menyatukan usaha para sukarelawan berbilang kaum dan agama untuk diaktifkan sekiranya berlaku bencana alam di negara-negara di rantau ini.


Encik Ahmad Zohree yang bekerja sebagai jurutera sepenuh masa akur akan masa yang harus dibahagikan antara kerja-kerja sukarelawan dan juga masa yang diluangkan bersama keluarga.


"Ini seperti kerja biasa juga, kita kena ada komitmen jadi kita harus rancang masa untuk keluarga, masa untuk kerja dan untuk disiplin bagi kerja-kerja sukarelawan untuk Humanity Matters," ujar Encik Ahmad Zohree.


Humanity Matters juga dalam perancangan untuk menubuhkan rangkaian respons kolektif agar dapat bertindak dengan lebih pantas sekiranya berlaku bencana alam di Asia Tenggara.



(Gambar: Nurfazirah Azman)

"Kami sedang bekerjasama dengan yayasan dan juga badan-badan korporat di Asia Tenggara untuk menubuhkan sebuah rangkaian respons kolektif respons agar respons kecemasan kami dapat menjadi lebih pantas, cekap dan lebih berkesan melangkah ke hadapan," kata Encik Hassan Ahmad.


TERUJA AMBIL BAHAGIAN DALAM KERJA-KERJA KEMASYARAKATAN


Bagi sukarelawan belia, Nur Atikah Masturina Ahmad Jamal, 21 tahun pula rasa teruja mengambil bahagian dalam kerja-kerja kemasyarakatan.


"Kepuasan boleh diperolehi setelah kami membuat 'post service self-reflection' iaitu kami sedar bahawa apa jua kekurangan yang ada dalam hidup kami, ada golongan dalam masyarakat kami, serantau dan dalam negeri yang memerlukan bantuan, asuhan dan perhatian dari kami," kata sukarelawan Humanity Matters, Nur Atikah Masturina.


Buat beliau, pengalaman dalam kerja-kerja kemasyarakatan ini adalah sesuatu yang tidak akan dapat dilupakan.


"Pengalaman manis yang saya ingat adalah sewaktu membungkus pek habuan untuk diagihkan di Singapura dan luar negeri kerana saya dapat berganding bahu dengan rakyat Singapura yang berbilang agama, kaum, usia dan juga pekerjaan," kongsi Nur Atikah.


LAKAR PELBAGAI PROGRAM, KUKUHKAN PERSEFAHAMAN KAUM/BUDAYA


Di samping itu, Humanity Matters turut menjalankan pelbagai program dalam negara untuk mengeratkan silaturahim sesama sukarelawan.


Ini selain menganjurkan program untuk masyarakat perdalam ilmu pengetahuan silang agama dan budaya.


Antaranya adalah Faithfully Asean, Project Hallow, Faithful Footprints dan The Majulah Assembly.


"Tahun lepas saya hadiri Faithfully Asean iaitu salah satu program Humanity Matters dan ia menimbulkan kesedaran pada saya kerana saya dapat berkomunikasi dengan berbilang kaum, berbilang bangsa dan negara juga dalam rantau Asia jadi ia mendorong minat saya dalam kerja-kerja sukarelawan dan berbuat baik tidak kira bangsa, agama atau kaum," ujar Nur Atikah.


Humanity Matters juga berharap dapat memperluas bantuan untuk meliputi lebih banyak negara di rantau ini.






bottom of page