top of page

800 orang berbilang bangsa dan negara bantu usaha kumpul dana untuk Gaza Humanity Matters

Berita Mediacorp | 7 Apr 2024





SINGAPURA: Usaha masyarakat Singapura berbilang bangsa dan negara bersatu untuk menunjukkan perpaduan untuk menyokong usaha pengumpulan dana bagi membantu para penduduk Gaza berjaya meraih kutipan sebanyak S$75,300 pada hari ini (7 April).


Kira-kira 800 orang tampil untuk membantu dalam usaha mengumpul dana di merata negara anjuran pertubuhan kemanusiaan silang agama Humanity Matters.


ni merupakan sebahagian daripada 'Project Hallow', satu kerjasama berbilang kaum dan agama yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan kewangan dan sokongan sosial.


Bilangan sukarelawan yang tampil menyumbang tenaga mengatasi jangkaan dan terdiri daripada warga Singapura, penduduk tempatan, ekspatriat, dan pekerja hijrahan.


Lebih separuh daripada mereka berasal dari negara seperti Filipina, Indonesia, Myanmar, India, dan Bangladesh.


Para sukarelawan juga mengedarkan pelekat kepada orang ramai, yang mengandungi mesej 'Satu Negara Satu Kemanusiaan - Kasih Sayang Konstruktif & Kolektif Bergerak'.


Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad yang melancarkan pengumpulan dana itu memuji semangat yang ditunjukkan rakyat Singapura yang terus meningkatkan usaha untuk menyokong usaha bantuan di Gaza.


"Saya berbesar hati dapat bersama Humanity Matters kerana kita membawa masyarakat Singapura daripada pelbagai agama, pelbagai latar belakang. Kita melihat anak-anak murid kita, melihat saudara-saudara kita yang terdiri daripada para pekerja hijrahan. Mereka semua sedang bersama sama untuk menunjukkan solidariti, menunjukkan sokongan kepada apa yang berlaku kepada saudara kita di Gaza.


"Kita melihat bagaimana Singapura tidak berpecah belah. Singapura bersatu menyokong tindakan yang harus kita lakukan untuk kita teruskan bantuan untuk diberikan kepada saudara kita di Gaza," kata Encik Zaqy.


Rakyat Singapura kata beliau terus prihatin tentang keadaan di Gaza dan sedia menghulurkan bantuan meskipun usaha bantuan kemanusiaan menjadi sasaran serangan Israel seperti yang membunuh pekerja bantuan kemanusiaan World Central Kitchen baru-baru ini.


Encik Zaqy menegaskan lagi kepentingan masyarakat dunia untuk terus mendesak agar gencatan senjata kemanusiaan segera dikuatkuasakan di Gaza.


"Pandangan Singapura adalah Israel telah melampaui batas, dan kami menekankan perlunya gencatan senjata kemanusiaan. Ia adalah kritikal. Saya fikir terutamanya kita telah melihat bagaimana orang awam terbunuh dan kini pekerja kemanusiaan, dan sebenarnya terdapat orang lain sebelum itu. Dan sudah tentu, anda mempunyai pekerja bantuan kesihatan dan juga. Jadi, ini semua adalah tanda-tanda di mana dunia perlu melakukan lebih banyak lagi.


"Kami berharap bahawa pihak antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sebagainya dapat membantu, dapat melakukan yang terbaik supaya kita dapat gencatan senjata bagi bantuan kemanusiaan yang diperlukan," tambah beliau.


Menurut Encik Zaqy lagi, walaupun terdapat risiko dalam usaha menghantar bantuan, pertubuhan bukan pemerintah (NGO) akan bekerjasama dengan NGO tempatan di Gaza untuk memastikan bantuan sampai dengan segera dan berkesan.


"Kebanyakan NGO tidak mengerahkan warga Singapura ke Gaza sendiri, mereka tidak biasa dengan keadaan di sana. Saya rasa kami cuba menguruskan risiko sepenuhnya kerana mengetahui bahawa dalam zon konflik, apa-apa pun boleh berlaku dan anda telah melihat wartawan terbunuh, cedera, anda telah melihat pekerja bantuan dan profesional penjagaan kesihatan seperti doktor, jururawat.


"Tetapi apa yang lebih penting ialah usaha NGO kami tidak terhalang. Ramai yang masih melakukan usaha untuk (menyediakan bantuan). Dengan lebih banyak akses, saya harap tidak lama lagi, sama ada melalui lintasan laut atau darat, kami berharap ini memberi kami lebih banyak peluang untuk menghantar lebih banyak bantuan tetapi saya rasa anda tahu, dari segi prosedur operasi (SOP), dan seperti yang dikongsi Humanity Matters bahawa mereka cenderung untuk bekerja lebih rapat dengan NGO tempatan yang lain," kata Encik Zaqy.


Selain itu, Encik Zaqy turut berkata bahawa Singapura telah mengambil banyak langkah untuk menyatukan masyarakat berhubung isu perang Israel-Hamas.


"Ada yang merasakan bahawa komuniti Muslim berasa lebih terkesan dan tetapi sebenarnya, ia tidak sepenuhnya benar. Maksud saya, saya bercakap dengan ramai rakyat Singapura di seluruh masyarakat dan saya mempunyai penduduk yang lebih tua berbangsa Cina yang memberitahu saya pandangan mereka.


"Saya fikir semua orang tahu apa yang berlaku dan semua orang mempunyai pandangan, dan sudah tentu, tetapi anda boleh lihat di sini, anda tahu, di Singapura, terdapat persefahaman bersama yang kami saling menghormati dan pastinya pada ketika ini, seperti yang anda boleh lihat, malah saling menyokong juga (usaha pengumpulan dana) ini untuk apa yang berlaku dan apa yang boleh kita lakukan bersama.


"Ini adalah salah satu aspek yang patut kita sayangi di Singapura . Ia tidak menjejaskan fabrik sosial kami, semangat komuniti kami," ujar beliau.


Comments


bottom of page