In The News
Bina jambatan berbanding tembok: Presiden Halimah
Berita Harian | 12 September 2019
DARI BANDAR DAVAO: DALAM dunia yang semakin rumit dan di mana ekstremisme dan sikap eksklusif sedang meningkat, dialog itu penting dalam usaha menentang prasangka, kejahilan dan sikap tidak bertoleransi, kata Presiden Halimah Yacob.
Menurut beliau, dialog adalah satu proses yang memerlukan usaha berterusan, komitmen dan minat ikhlas dalam meraih persefahaman dan penerimaan meskipun terdapat perbezaan pandangan dan keyakinan.
"Menerusi perbualan, pendengaran dan sikap memberi dan menerima, kita boleh memperdalami kepercayaan sosial dan membina ikatan persahabatan.
"Dalam masa krisis, ikatan inilah yang akan membantu kita melalui waktu sukar. Ikatan persahabatan dan perpaduan inilah yang akan memastikan kita kekal kukuh dan berpadu sebagai satu masyarakat, tidak kira apa yang berlaku," kata beliau.
Puan Halimah berkata demikian kepada sekumpulan belia pelbagai agama dan etnik dalam satu sesi dialog di Institut bagi Identiti dan Dialog Islam di Asia Tenggara Al-Qalam, Universiti Ateneo de Davao, di Bandar Davao, Mindanao, semalam.
Beliau menambah bahawa dialog dan pendekatan berterusan menjadi kunci dalam membina kepercayaan dan persefahaman dalam masyarakat yang pelbagai.
Dunia yang semakin rumit hari ini, di mana orang, barangan dan idea lebih bebas bergerak merentas sempadan, telah membolehkan ekonomi menjadi makmur dan mempertingkat kehidupan ramai orang, kata beliau.
Namun, ia juga ada kemudaratannya - masyarakat menjadi lebih terpisah (polarised), dengan perbalahan yang semakin meningkat dilihat dalam kalangan kumpulan berlainan etnik dan agama.
"Kita juga melihat ekstremisme dan sikap eksklusif menjadi lebih kuat.
"Sesebuah masyarakat itu mudah terjejas jika satu kumpulan melihat satu lagi kumpulan sebagai ancaman.
"Adalah penting untuk mengatasi kuasa pemisah ini, dan membina jambatan berbanding tembok," kata Puan Halimah.
Dalam usaha menggalak dan mempromosi dialog silang agama dan kaum dalam semua lapisan masyarakat, Singapura telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) pada Jun tahun ini.
Hampir 1,000 peserta daripada sekitar 40 negara menyertai persidangan itu, yang merupakan wadah bagi mereka melibatkan diri dalam dialog membina dan mengongsi tentang cabaran keharmonian sosial dalam masyarakat, kongsi Puan Halimah kepada kumpulan belia itu.
Seperti Mindanao - antara bahagian paling pelbagai dari segi etnik, budaya dan agama di Filipina - beliau berkata Singapura juga mempunyai masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Justeru, seperti Mindanao, negara ini sentiasa berusaha memajukan budaya saling menghormati satu sama lain dalam masyarakat dan memanfaatkan kepelbagaian masyarakat sebagai satu sumber kekuatan.
"Ia menjadikan masyarakat kita lebih bertenaga dan kehidupan lebih kaya. Ia sesuatu yang perlu kita hargai dan lindungi.
"Kita semua mempunyai peranan dalam membentuk masa depan di mana setiap daripada kita berdiri bersama tidak kira bangsa, bahasa atau agama," kata beliau.
Selepas selesai sesi dialog bersama belia di universiti itu, Puan Halimah kembali ke Manila semalam.
Di sana, beliau menemui lebih 20 anggota Faiths@Work, sebuah kumpulan yang mengumpulkan individu pelbagai agama di Asean untuk melakukan kerja kemanusiaan dan menggalak keharmonian silang agama.
Beliau kemudian menemui warga Singapura yang menetap di Filipina dalam satu resepsi makan malam.
Dalam ucapannya di resepsi itu, Puan Halimah berkata perniagaan Singapura telah mengecapi kejayaan dalam pelbagai sektor di Filipina, termasuk perkilangan, telekomunikasi, prasarana, runcit dan logistik.
Namun, sedang warga Singapura di luar negara sibuk merebut peluang dalam Asean, beliau turut menggalak mereka kekal berhubung rapat antara satu sama lain dan tanah air ini.
"Warga Singapura di luar negara seperti anda banyak memberi sumbangan kepada pembangunan berterusan masa depan Singapura.
"Saya berharap anda akan terus menyokong satu sama lain, dan kekal terhubung dengan orang tersayang di tanah air," kata beliau.